Wednesday, April 10, 2013

Warga asing tak dijamin selamat



Beberapa buah kenderaan Korea Selatan yang meninggalkan bandar Kaesong di Korea Utara tiba di pusat kuarantin kastam dan imigresen dekat kampung Panmunjom, di Paju, di sempadan Korea Utara dan Korea Selatan, semalam. - AGENSI
SEOUL 9 April - Korea Utara, hari ini memberi amaran kepada warga asing di Korea Selatan supaya meninggalkan negara itu kerana semenanjung Korea kini sedang menuju ke kancah perang nuklear.
Amaran itu dikeluarkan selepas nasihat yang sama dibuat kepada diplomat asing di Pyongyang pada Jumaat lalu yang menyatakan negara itu tidak menjamin keselamatan mereka jika perang meletus.
“Situasi di semenanjung Korea kini semakin hampir kepada perang nuklear," kata Jawatankuasa Keamanan Asia Pasifik Korea Utara dalam satu kenyataan yang dilaporkan oleh Agensi Berita Pusat Korea.
Dengan menyatakan tidak mahu melihat orang asing di Korea Selatan ‘menjadi mangsa’, kenyataan itu menggesa semua institusi asing, syarikat dan pelancong ‘mengambil langkah berlindung dan meninggalkan negara itu demi keselamatan mereka’.
Menurut kenyataan itu, risiko tercetusnya perang nuklear semakin meningkat hari demi hari, akibat ‘hasutan perang dari Amerika Syarikat’ dan ‘boneka’ Korea Selatan yang mahu menyerang Korea Utara.
Sementara itu, pekerja-pekerja Korea Utara, awal hari ini turut mematuhi arahan Pyongyang untuk memulaukan zon industri Kaesong yang diusahakan secara bersama dengan Seoul, sekali gus memberi petunjuk kepada kemungkinan tamatnya satu-satunya simbol perdamaian merentasi sempadan.
“Tiada seorang pun pekerja dari Korea Utara datang bekerja pada hari ini," kata pengurus di satu daripada 123 syarikat Korea Selatan yang beroperasi di Kaesong.
Korea Utara, semalam mengumumkan langkah yang tidak pernah dibuat sebelum ini iaitu menarik keluar 53,000 pekerja negara itu dan menutup kompleks di Kaesong. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130410/lu_05/Warga-asing-tak-dijamin-selamat#ixzz2Q4jihweq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment