Saturday, May 18, 2013

AS juga perhamba wanita: Hashimoto


Tokyo: Datuk Bandar Osaka semalam mengecam pengkritiknya dalam isu hamba seks zaman perang dengan mendakwa tentera Amerika Syarikat menyeksa wanita Jepun sepanjang tempoh tujuh tahun negara itu dijajah.

Toru Hashimoto berkata, adakah AS tidak memperhambakan wanita Jepun apabila AS menduduki negara itu satu ketika dulu.


“Saya tak dapat mengelak daripada berpendapat bahawa tidak adil bagi AS mengkritik Jepun saja dengan mengetepikan tindakan mereka sendiri,” katanya melalu Twitter, semalam.

Awal minggu ini, Hashimoto berkata, hamba seks yang menjadi pemuas nafsu tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua adalah satu keperluan.


Bagaimanapun, komen itu dikecam Washington dan menganggapnya sebagai “keterlaluan” dan “menghina.” Jurucakap Jabatan Negara Jen Pskai berkata, Tokyo perlu bekerjasama dengan negara jiran bagi menangani isu silam. Ada sehingga 200,000 hamba seks dari Korea, China, Filipina dan negara lain dipaksa menjadi pemuas nafsu tentera Jepun sepanjang tempoh perang berkenaan.


Mengulas melalui Twitter untuk dibaca berjuta-juta pengikutnya,, Hashimoto menulis: “Biar saya berterus terang. Ketika AS menjajah Jepun, tidakkah mereka mempergunakan wanita Jepun?” Kata Hashimoto, AS perlu mengakui apa yang dilakukan tentera negara itu ke atas wanita tempatan, terutama di Okinawa, ketika Jepun dijajah. Pakatan tentera diketuai AS mengawal Jepun sehingga 1952 selepas Tokyo menyerah di akhir Perang Dunia Kedua. Okinawa yang terletak di selatan Jepun kekal di bawah pentadbiran AS selama dua dekad kemudian sebelum dikembalikan kepada Tokyo. Sejarawan yang pernah memenangi Anugerah Pulitze, John Dower, adalah antara sumber kukuh yang mengaitkan tentera AS dengan kejadian rogol berulang kali ke atas wanita Jepun walaupun ia tidak dilaporkan di media. Hashimoto turut mendakwa Perancis dan Jerman adalah antara negara yang memperkenalkan “stesen rehat” - merujuk kepada rumah pelacuran - pada zaman perang. - AFP

No comments:

Post a Comment