Saturday, May 18, 2013

Kenderaan pelancar peluru berpandu Korea Utara bertambah



SEOUL 17 Mei - Korea Utara dipercayai mempunyai kira-kira 200 kenderaan pelancar peluru berpandu, meningkat sekali ganda berbanding laporan oleh Korea Selatan sebelum ini.
Agensi berita Yonhap melaporkan Institut Korea bagi Analisis Pertahanan (KIDA) telah menyemak semula jumlah kenderaan itu selepas melihat satu dokumen pertahanan Pentagon.
Buat masa ini, dianggarkan Pyongyang mempunyai hampir 50 buah kenderaan pelancar peluru berpandu jarak sederhana dan 150 buah lagi untuk jarak dekat.
Seoul sebelum ini menganggarkan Korea Utara hanya mempunyai 94 buah kenderaan pelancar peluru berpandu, lapor Yonhap yang memetik kenyataan seorang penyelidik KIDA.
Penyelidik itu berkata, dokumen Pentagon Amerika Syarikat (AS) menunjukkan Pyongyang telah meluaskan program peluru berpandu walaupun berdepan masalah ekonomi.
Pegawai KIDA bagaimanapun tidak dapat mengesahkan laporan itu yang dikeluarkan selepas Korea Utara membatalkan rancangan pelancaran peluru berpandu jarak sederhananya.
Minggu lalu, seorang pegawai pertahanan AS berkata, dua peluru berpandu Korea Utara yang telah sedia untuk dilancarkan berikutan ketegangan yang memuncak di semenanjung Korea telah dipindahkan dari lokasi pelancarannya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130518/lu_04/Kenderaan-pelancar-peluru-berpandu-Korea-Utara-bertambah#ixzz2TbomSmjd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment