Saturday, May 18, 2013

‘Tolonglah...kami dah tak mampu’



Kota Bharu: Seorang buruh dari Dabong, Kuala Krai, dekat sini, buntu mengenangkan masa depan anak sulungnya berusia dua tahun yang menderita barah otak sejak tahun lalu.

Mohd Hafidal Mat Ariffin, 28, berkata, penyakit anaknya, Muhamad Faqrish, 2, semakin kritikal dan perlu menjalani rawatan kemoterapi sebagai rawatan susulan, tetapi Mohd Hafidal yang dihimpit kemiskinan, tidak mampu menampung kos rawatan.


Mohd Hafidal berkata, anaknya dilahirkan normal tanpa sebarang penyakit.

“Bagaimanapun, ketika Abe Long (Muhamad Faqrish) berusia setahun dia mula menunjukkan perubahan apabila sering muntah dan demam berpanjangan.” katanya.


Menurutnya, dia yang ketika itu tinggal di Kuala Lumpur merujuk anaknya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), namun tidak menunjukkan sebarang perubahan.


“Saya membawanya ke Terengganu untuk menjalani rawatan tradisional sebelum merujuknya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan Abe Long disahkan menghidap barah otak peringkat ketiga.

“Kami diminta membawa Abe Long ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk rawatan lanjut,” katanya.


Menurutnya, dia dan isteri, Norfatihah Samsudin, 23, tidak menyangka anak sulung daripada dua beradik itu menghidap barah otak.

“Sejak Abe Long disahkan menghidap barah otak kehidupan kami mula berubah. Saya pulang bekerja di kampung untuk menjaga anak yang sakit selain perlu menyara seorang lagi anak berusia 11 bulan.


“Dalam tempoh sebulan, saya memerlukan RM1,000 untuk Abe Long. HUSM pula sudah menjadi rumah kedua kami sejak setahun lalu,” katanya.


Katanya, dia sekeluarga kini buntu untuk mencari sumber kewangan untuk meneruskan rawatan susulan anaknya.


"Abe Long sudah menjalani pembedahan dan beberapa kali menjalani rawatan kimoterapi. Dia masih perlu menjalani rawatan sama secara berperingkat yang memerlukan kos tinggi.


"Kami hanya memperoleh bantuan daripada Majlis Kanser Nasional (MAKNA) RM200 sebulan," katanya.


Sehubungan itu, Mohd Hafidal merayu kepada pihak yang prihatin membantunya dan dia boleh dihubungi di talian 017-9046312.

No comments:

Post a Comment