Saturday, May 18, 2013

Lebih 50,000 hadiri 'blackout 505' Seremban



Harakahdaily | Foto SK,18 Mei 2013
SEREMBAN: Himpunan Suara Rakyat Suara Keramat peringkat Negeri Sembilan malam tadi menyaksikan kehadiran lebih 50,000 orang yang terdiri dari pelbagai kaum.

Himpunan bagi membantah keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) malam tadi itu berlangsung di kawasan parkir Jalan Haruan 4/7, Pusat Komersial Oakland di sini.

Seperti siri himpunan di beberapa negeri sebelum ini, lautan hitam mewarnai himpunan sebagai tanda matinya demokrasi di negara ini pada hari pengundian 5 Mei lalu atau lebih dikenali sebagai 'blackout 505'.

Antara pimpinan Pakatan Rakyat yang hadir malam tadi termasuklah Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PKR Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Naib Presiden Salahudin Ayub serta pimpinan DAP termasuk Anthony Loke.

Anwar dalam ucapannya malam tadi turut menyelar kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menggesa rakyat yang tidak berpuas hati dengan sistem pilihan raya supaya keluar dari negara ini.

Kenyataan itu dinyatakan Zahid dalam rencananya yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 16 Mei 2013.

Menurut Anwar kenyataan Zahid itu angkuh dan pada masa sama cuba menghina rakyat di negara ini.

"Kamu ingat negara ini bapa kamu punya? Ini cara menghina rakyat," kata Anwar.

Sebelum ini, selain pimpinan Pakatan Rakyat, kenyataan Zahid itu juga turut dibidas Penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Agus menjelaskan beliau terkejut dengan kenyataan tersebut dan menyifatkannya tidak wajar diungkap keluar dari mulut seorang menteri.

“Mengapa DS Zahid boleh mengeluarkan kenyataan sebegini?” tanya beliau di dalam Facebooknya.

Beliau juga mempersoalkan apakah salah jika rakyat mempersoalkan pelaksanaan sistem pilihan raya yang ada dan apakah perlembagaan negara kita menghalangnya.

“Setahu saya, Perkara 10 Perlembagaan menjamin hak rakyat untuk bebas mengeluarkan pendapat, berhimpun dan berpersatuan,” jelasnya.

Tambahnya, tidak ada satu klausa pun dalam perlembagaan yang membenarkan menteri untuk memberitahu rakyatnya supaya berhijrah ke negara lain hanya kerana berbeza pendapat dalam politik.

No comments:

Post a Comment