Oleh Nordiana Shafiee
Alor Setar: Kesempitan hidup yang membelenggu mereka, memaksa 19 sekeluarga tinggal dalam sebuah rumah pusaka usang di Lorong Gedebang, Jalan Langgar, di sini, dalam keadaan sesak sejak beberapa tahun lalu.
Difahamkan, rumah berusia lebih 100 tahun dan tidak pernah dibaiki itu dihuni Ishak Darus, 73, dan isteri, Jamaliah Rejab, 46, bersama 10 anak berusia antara 10 hingga 27 tahun termasuk dua menantu dan juga lima cucunya.
Malah, dua daripada anak pasangan terbabit yang sudah berkahwin juga turut tinggal bersama mereka kerana hidup susah.
Ishak berkata, dia tiada pilihan lain kecuali terpaksa tinggal bersama anak, menantu dan cucunya walaupun ruang rumah ini terhad dan sempit, selain ada banyak kerosakan seperti bumbung bocor kerana kesempitan hidup.
“Memang menyedihkan apabila mengenangkan nasib kami sekeluarga kerana terpaksa tidur berselerak di ruang yang ada di rumah ini,” katanya.
“Saya kasihan pada anak, menantu dan juga cucu kerana mereka tidur dalam keadaan tidak teratur. Malah, saya sendiri hanya tidur di atas sofa lusuh ini bagi memastikan ahli keluarga mempunyai ruang ‘selesa’ untuk tidur,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Ishak yang kali terakhir bekerja sebagai pengawal keselamatan 20 tahun lalu, berkata dia kini menghidap pelbagai penyakit seperti batu karang, buasir, jantung dan paru-paru berair yang memerlukan dirinya menjalani pemeriksaan di hospital setiap bulan.
Menurutnya, mereka bukan saja terpaksa tinggal dalam rumah yang sangat daif, tetapi akibat masalah kewangan dihadapi itu juga menyebabkan tiga anaknya, Siti Nordiana, 15; Siti Hajar, 13, dan Mohd Shahrin, 11, tidak dapat meneruskan persekolahan mereka.
“Bagaimana saya hendak hantar mereka ke sekolah jika mahu dapat makan setiap hari pun susah hingga ada masanya kami terpaksa minum air kosong saja bagi mengalas perut sepanjang hari.
“Malah, ada ketikanya, saya sendiri kasihan melihat cucu saya menangis kelaparan sewaktu kami terputus bekalan makanan, namun apakan daya kerana tiada kemampuan. “Bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM450 pun masih tidak mencukupi kerana saya juga perlu membayar sewa tapak rumah ini sebanyak RM7 sebulan, manakala bil elektrik dan air pula mencecah hampir RM200 sebulan tidak termasuk lagi perbelanjaan harian lain,” katanya.
Ishak juga sedih apabila anaknya, Siti Nordiana yang sepatutnya ke sekolah terpaksa bekerja di kedai makan bagi membantu menampung kehidupan mereka sekeluarga.
Selain Siti Nordiana, tiga lagi anaknya berusia antara 18 hingga 24 tahun turut bekerja di kedai makan dan kedai kasut bagi membantu meringankan lagi bebanan keluarga.
Pasangan itu bukan sahaja terpaksa hidup berhimpit, malah mendakwa setiap kali hujan mereka sekeluarga perlu menadah baldi dan berpindah-randah dalam rumah kerana akan dibasahi air berikutan bumbung sudah banyak rosak dan berlubang.
Katanya, dinding rumah juga sudah reput dimakan anai-anai hingga terpaksa dipasang langsir atau kain kanvas untuk menutup ruang daripada terdedah kepada pandangan orang ramai.
“Saya rasa sedih dengan nasib menimpa keluarga kami dan sangat berharap kesusahan hidup keluarga akan berakhir tidak lama lagi sekiranya ada pihak yang prihatin untuk menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban,” katanya.
No comments:
Post a Comment