Saturday, May 18, 2013

Penduduk Hong Kong paling rasis



STOCKHOLM, Sweden 17 Mei - Majoriti penduduk China di Hong Kong adalah yang paling tidak mengamalkan toleransi perkauman, menurut tinjauan terbaharu oleh World Value Survey.
World Value Survey yang menilai sikap sosial penduduk di 80 buah negara selama lebih tiga dekad berkata, 71.8 peratus penduduk Hong Kong tidak mahu tinggal bersebelahan dengan bangsa lain.
Tinjauan itu, yang disiarkan semalam turut mendapati, kebanyakan negara yang mempunyai penduduk yang tidak bertoleransi dalam perkauman ialah negara-negara membangun, dengan Bangladesh, Jordan dan India menduduki senarai lima teratas.
Di Bangladesh, 51.4 peratus rakyatnya tidak mahu berjiran dengan bangsa lain, begitu juga di India apabila 43.5 peratus penduduk negara itu enggan tinggal bersebelahan dengan berlainan bangsa.
Malaysia dalam pada itu disenaraikan sebagai negara yang kurang bertoleransi dalam perkauman dengan hanya antara 20 dan 39.9 peratus penduduknya tidak mahu berjiran dengan bangsa lain.
Tinjauan World Value Survey itu meminta individu memperincikan jenis orang yang mereka tidak mahu dijadikan jiran dan mengira berapa ramai memilih 'individu berlainan bangsa'.
Menurut penyelidik, masyarakat yang tidak mahu berjiran dengan bangsa lain boleh dianggap kurang toleransi perkauman.
Sementara itu, Britain pula menjadi negara yang paling bertoleransi dalam perkauman.
World Value Survey berkata, negara-negara Barat adalah yang paling terbuka untuk menerima budaya asing dengan Britain, Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Australia paling bertoleransi berbanding negara lain.
Rakyat AS, pula dikatakan kurang rasis dengan hanya 3.8 peratus penduduk di negara itu yang menolak untuk berjiran dengan bangsa lain.
Britain, Kanada, Australia dan New Zealand menjadi negara paling toleransi perkauman dengan hanya kurang daripada lima peratus penduduknya enggan tinggal berjiran dengan bangsa lain.
Pada dasarnya kebanyakan negara Barat melarang rasis menyebabkan penduduknya akan menyembunyikan pandangan tidak bertoleransi mereka dan berbohong dalam menjawab soalan, menurut Max Fisher dari Washington Post. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130518/lu_01/Penduduk-Hong-Kong-paling-rasis#ixzz2TboqljlN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment