Saturday, May 18, 2013

Azfa seperti terbakar



Oleh Mohamad Hanafis Abdul Haris
Ipoh: Hati ibu mana tidak sayu melihat bayinya berusia setahun menghidap penyakit misteri yang mengakibatkan kulit tubuhnya seperti melecur terbakar selain mengelupas hingga menampakkan daging.

Noorsawal Shimah Dahari, 28, berkata, anaknya, Azfa Mohamad, mula mengalami perubahan teruk di badan yang disangkakan kudis biasa sebulan lalu.


Menurutnya, kudis aneh itu merebak ke seluruh tubuh dan semakin membesar sebelum bertukar warna menjadi hitam seperti terbakar.

“Pada mulanya, anak saya dikatakan menghidap demam campak oleh sebuah klinik swasta di Kuala Kangsar, dua bulan lalu.


“Saya sangka ia penyakit biasa yang akan sembuh dalam tempoh seminggu,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Unit Rawatan Rapi Pediatrik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, semalam.


Menurutnya, dia membawa anaknya ke Hospital Sungai Siput untuk rawatan lanjut selepas mendapati kudis pada badan anaknya itu semakin serius.

“Namun, kudis itu semakin bertambah dan membesar menyebabkan saya memindahkan Azfa ke HRPB dengan harapan punca penyakitnya dapat dikenal pasti serta dirawat,” katanya.


Noorsawal berkata, keadaan anaknya semakin kritikal apabila kudis di badannya mula membesar dan bernanah.

“Kudis itu kemudian bertukar menjadi luka besar hingga menampakkan daging dan keadaan ini membuatkan hati sayu melihat penderitaan dialami Azfa yang masih kecil,” katanya.


Menurutnya, hampir seluruh tubuh insan kecil ini termasuk kaki dan tangan ditumbuhi kudis berkenaan yang gagal dikenal pasti puncanya.


“Doktor mengklasifikasikan penyakit ini sebagai sakit kulit mati bernanah atau lebih dikenali sebagai ‘pyoderma gangrenosum’ yang dikatakan jarang berlaku.


“Setakat ini, pihak hospital hanya mampu memberi rawatan antibiotik dan ubat tahan sakit selain turut memberi morfin bagi mengurangkan rasa sakit,” katanya.


Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Wawasan Kesejahteraan Insan (Wawasan) negeri Perak Fauzi Muda berkata, perkara yang menimpa bayi itu amat menyedihkan memandangkan usianya masih kecil.


“Saya yakin penyakit dihidapi bayi itu boleh dirawat dan kita akan cuba mencari jalan penyelesaian bagi mengurangkan beban ditanggung ibu bapa kanak-kanak itu.


“Saya berharap orang ramai yang melihat kesengsaraan dialami oleh kanak-kanak itu supaya membantu pasangan ini bagi mendapat rawatan terbaik,” katanya.


Orang ramai yang prihatin boleh menghubungi Noorsawal di talian 011-24149976 bagi menghulurkan bantuan.

No comments:

Post a Comment