Wednesday, May 8, 2013

Kadar pertambahan pengundi yang meragukan

Mohd Zuhdi Marsuki,

1. Semalam saya ada mengemukakan analisis awal tentang "Fenomena Terengganu 2004", iaitu berkaitan dengan pertambahan pengundi baru yang begitu mendadak. Hampir semua negeri pertambahan pengundi baru melebihi 16%, malah Selangor mencapai 30.2%. Terengganu sejak 1999 mengekalkan 3 pengggal berturut pertambahan pengundi yang menakjubkan iaitu 17.3% pada 1999-2004, 14.1% pada 2004-2008 dan 22.1% pada 2008-2013. Lebih menakjubkan Sabah pada tempoh 2004-2008 pertambahan pengundi baru 83.7%? Bukankah ini petanda wujudnya pengundi hantu sebagaimana yang didedahkan oleh RCI baru-baru ini.

2. Menurut laporan Bank Dunia pertumbuhan penduduk Malaysia ialah 1.6% setahun, iaitu mengambil kira kadar kelahiran dan kadar kematian. Kadar pertumbuhan penduduk Malaysia ini sepatutnya mencerminkan kadar pertambahan pengundi baru. Kalau satu penggal parlimen iaitu lima tahun atau kurang, kadar pertambahan pengundi sepatutnya sekitar 8% (1.6 x 5 = 8%), itupun kalau 100% yang layak mengundi mendaftar sebagai pemilih. Persoalannya, daripada mana datangnya jumlah pertambahan 30.2% di Selangor, 19.6% di Kedah, 19.6% di Perak dan lain-lain. Kalau kadar di Selangor ini mengambil kira kadar migrasi, sepatutnya ada negeri lain yang kadar negatif atau sangat kurang sebab pengundi berpindah ke Selangor, sebaliknya seluruh negara bertambah dengan mendadak.

3. Sebagaimana yang dilaporkan oleh Bridget Welsh, beberapa kawasan parlimen memperlihatkan pertambahan pengundi yang sangat menakjubkan, iaitu pertambahan melebihi 25% di 90 kawasan parlimen. Antaranya parlimen Pasir Gudang dan parlimen Tebrau di Johor yang memperlihatkan pertambahan pengundi baru sebanyak 39% dan 45%. Manakala parlimen Cameron Highland, sebuah kawasan tanah tinggi dan pedalaman, pertambahan pengundi baru ialah 20%. Ketiga-tiga kawasan parlimen ini di menangi oleh Barisan Nasional. Dua buah kerusi parlimen panas, Bachok di Kelantan dan Bukit Gantang di Perak, pertambahan pengundi baru ialah 21% dan 29%. Dengan pertambahan sebanyak itu PAS menang dengan majoriti yang sangat tipis iaitu 1% di Bachok dan 2% di Bukit Gantang.

4. Saya begitu yakin pola pertambahan pengundi baru ini berlaku di seluruh negara terutama di kawasan-kawasan parlimen yang Barisan Nasional menang dengan majoriti tipis pada tahun 2008. Sebagai contohnya, parlimen Jerantut, yang merupakan salah satu sasaran PAS untuk dimenangi disebabkan majoriti BN pada tahun 2008 ialah 1946. Kadar pertambahan pengundi baru di kawasan ini ialah sebanyak 19.6%, iaitu kadar yang tidak munasabah bagi sebuah kawasan pedalaman seperti ini. Kesannya, walaupun calon PAS berjaya menambah undi sebanyak 4415 iaitu satu jumlah yang selesa untuk mengatasi majoriti kemenangan BN pada tahun 2008, jumlah ini tidak memberikan apa-apa makna dengan pertambahan pengundi yang begitu meragukan.

5. Pola yang hampir sama berlaku kepada sebuah lagi kerusi PAS yang sepatutnya boleh dipertahankan, iaitu parlimen Kuala Selangor. Pada tahun 2008, PAS menang tipis di kawasan parlimen ini dengan majoriti 860. Bagaimanapun, pertambahan pengundi di kawasan parlimen ini sejak tahun 2008 ialah hampir 32%, dan lebih menakjubkan kadar peratusan yang keluar mengundi ialah 89.2%. Calon PAS di kawasan ini berjaya menambahkan undinya sebanyak 8244 undi, daripada 18796 pada tahun 2008 kepada 27040 pada tahun 2013. Bagaimanapun, pertambahan itu tidak begitu bermakna disebabkan calon BN memperolehi pertambahan yang lebih berlipat ganda kesan daripada pertambahan pengundi baru sebanyak 32% tersebut.

6. Fenomena inilah yang berlaku di Terengganu pada tahun 2004, apabila berlaku pertambahan pengundi baru yang begitu mendadak di Terengganu, iaitu lebih 17% sedangkan di negeri-negeri lain ketika itu begitu rendah. Faktor ini kemudiannya diperkukuhkan dengan peratusan keluar mengundi yang begitu tinggi di Terengganu ketika itu sehingga mencecah lebih 90%. Saya yakin fenomena yang sama telah mencorakkan keputusan Pilihanraya Umum ke 13 baru-baru ini, sehingga PR digagalkan untuk menguasai Putrajaya walaupun mood rakyat jelas menunjuk ke arah itu. "Fenomena Terengganu 2004" ini diyakini mempunyai kaitan dengan penyertaan warganegara asing yang turun mengundi dan lain-lain kategori pengundi ragu yang telah dibangkitkan oleh banyak pihak.

No comments:

Post a Comment