China
China sebelum ini mendakwa AS telah melancarkan 100,000 serangan siber setiap bulan yang menyasarkan laman ketenteraan milik mereka.
BEIJING - Tentera China, semalam menafikan sekeras-kerasnya tuduhan baru yang dilemparkan Amerika Syarikat (AS) bahawa negara itu melancarkan pengintipan siber.

Kolonel Kanan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA), Wang Xinjun menegaskan kerajaan tidak pernah membenarkan aktiviti penggodaman dan beliau turut menyifatkan laporan Pentagon itu sebagai tuduhan tidak berasas serta boleh menjejaskan kepercayaan antara satu sama lain.

Kelmarin, Pentagon mendakwa China terlibat dalam aktiviti pengintipan siber secara meluas sebagai usaha untuk mendapatkan maklumat berhubung dasar luar kerajaan dan rancangan ketenteraan AS.

Menurut laporan itu, Beijing kononnya telah menggunakan rangkaian eksploitasi komputer (CNE) untuk menyokong koleksi maklumat risikan pelbagai sektor termasuk sistem industri pertahanan yang menyokong program ketenteraan negara tersebut.

Selain itu, Pentagon turut mendedahkan kelengkapan persenjataan milik China yang didakwa kini semakin canggih, laporan dipetik daripada AP.