Wednesday, May 8, 2013

Spartly: China hantar kapal nelayan terbesar



BEIJING 7 Mei - China menghantar satu daripada kapal nelayan terbesarnya ke Kepulauan Spartly di Laut China Selatan, lapor media kerajaan hari ini ketika ketegangan semakin meningkat ekoran Beijing memperkuatkan tuntutannya ke atas wilayah maritim yang menjadi pertikaian itu.
Satu flotila termasuk 30 kapal nelayan telah berlepas ke Spratly semalam, kepulauan yang turut dituntut oleh Vietnam, Malaysia, Filipina dan Brunei, lapor China Daily.
Kapal itu meninggalkan selatan wilayah Hainan untuk perjalanan selama 40 hari di wilayah maritim itu dan turut diiringi oleh dua kapal pengangkut dan kapal pembekal.
Sebelum ini bot nelayan China sering ke Spratly, tetapi kapal nelayan yang berlepas semalam itu adalah yang terbesar setakat ini pernah dihantar ke kepulauan tersebut.
"China akan melakukan 'apa sahaja untuk memastikan keselamatan kapal itu'," lapor China Daily yang memetik pegawai daripada jabatan laut dan perikanan.
China dan beberapa negara jiran lain telah lama menggunakan kapal nelayan dan kapal peronda maritim untuk memperkukuhkan tuntutan ke atas wilayah tersebut, selain menaik taraf pasukan tentera laut ekoran peningkatan ketegangan di Luat China Selatan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130508/lu_08/Spartly-China-hantar-kapal-nelayan-terbesar#ixzz2Sfo4L2v8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment