Thursday, June 6, 2013

Bekalan petrol di Belaga hampir habis

Bekalan petrol di Belaga hampir habis
Anggota pasukan penyelam dari Jabatan Bomba dan Penyelamat serta polis menggunakan kayu panjang mengesan kedudukan belakang bot ekspres yang karam di Giam Bungan. 

Belaga: Penduduk kawasan ini berdepan satu lagi cabaran baru apabila bekalan petrol hampir kehabisan akibat permintaan meningkat hampir tiga kali ganda.

Ketika ini, hanya satu kedai menjual petrol, manakala empat kedai lain dilaporkan kehabisan stok bahan bakar itu.
Difahamkan, pasukan penyelamat membeli sebahagian besar bekalan petrol dan diesel untuk kegunaan bot laju berulang-alik dari pekan ini ke Tanjong Giam Bungan, kira-kira satu jam perjalanan sungai.


Pengendali kedai minyak, Ah Seng Huat, 45, berkata bekalan petrol hanya tinggal lapan tong dan boleh habis dalam tempoh sehari.

Tempah petrol 

“Sebelum sambutan Gawai, saya menyimpan stok hampir 30 tong petrol tetapi hari ini (semalam) bekalan tinggal tidak kurang 10 tong.

“Bekalan diesel masih banyak kerana hanya kenderaan tertentu dan bot ekspres menggunakannya,” katanya ketika ditemui BH di sini, semalam.
Difahamkan, pengusaha menempah petrol dari Bintulu tetapi tiada pemandu sanggup masuk ke Belaga berikutan keadaan jalan rosak dan kebimbangan tanah runtuh akibat hujan.

Pada masa sama, bekalan sedia ada dijangka memadai untuk dua atau tiga hari, sedangkan operasi menyelamat mangsa terperangkap dalam bot ekspres karam masih diteruskan.

Ah Seng berkata, jika jalan rosak dapat diratakan secepat mungkin, mungkin lori tangki dapat masuk bagi menghantar bekalan.

“Harga petrol dan diesel kekal pada harga subsidi tetapi jika kami terpaksa mengangkut sendiri, kemungkinan harganya meningkat untuk menampung kos,” katanya.

No comments:

Post a Comment