Thursday, June 6, 2013

Majlis Daerah Pendang buat pekak badak aduan penyewa..!



Medan selera kurang selesa

WARTAWAN SINAR HARIAN 6 Jun 2013 PENDANG - Beberapa peniaga di Medan Selera Anggerik Majlis Daerah Pendang (MDP) bimbang perniagaan mereka akan merosot teruk disebabkan banyak rungutan daripada pelanggan yang tidak selesa untuk menikmati makanan di situ.

Peniaga, Salmah Ismail, 57, berkata, peniaga bimbang perniagaan di situ akan merosot teruk kerana banyak rungutan berkaitan medan itu panas.

Menurutnya, setiap kali pelanggan datang, mereka akan menerima rungutan bahawa medan itu panas sehingga ada yang tidak mahu datang lagi selepas sekali mencuba makan di situ.

“Sekian lama medan ini dibuka tetapi tiada perkhidmatan kipas yang disediakan MDP.

“Peniaga tak mampu menyediakan kipas syiling atau kipas dinding kerana memerlukan kos tinggi sedangkan pendapatan berniaga di situ hanya sedikit,” katanya kepada Sinar Harian.

Salmah berkata, selain masalah panas, ramai juga pelanggan yang kurang selesa menjamu selera di situ terutamanya musim hujan kerana bumbung medan itu mengalami kebocoran.

Katanya, banyak aduan disampaikan kepada pihak terbabit namun tiada sebarang tindakan diambil.


“Setiap kali hujan, peniaga akan berlari kutip pinggan manakala pelanggan pula berselerak lari mencari tempat meja yang tidak bocor.

“Jika masalah ini terus dibiarkan, saya bimbang perniagaan di sini akan merosot lebih teruk apabila lokasi medan ini turut berada di kawasan belakang,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pelanggan, Mat Akhir, 64, berkata, MDP sepatutnya mengambil perhatian serius memasang kipas dan membaiki bumbung demi keselesaan pelanggan.

Menurutnya, dia tidak akan duduk lama di medan selera itu kerana tidak tahan dengan keadaan panas di situ.

“Hanya sekadar makan dan terus balik sahaja dan jika MDP dapat sediakan kipas ianya lebih baik demi kemajuan perniagaan di situ,” katanya.

Seorang lagi pelanggan, Rahmah Abdullah, 67, berkata, sebagai pelanggan faktor keselesaan sangat dititik beratkan dalam memilih premis atau restoran makan.

Katanya, dia harap MDP dapat memasang kipas dengan segera dan membaiki bumbung bangunan itu yang dikatakan rosak sekian lama.

No comments:

Post a Comment