Thursday, June 6, 2013

Tarian Lucah: 'Pas bukan parti mundur'



SEGAMAT - Dakwaan seorang pemimpin MCA di daerah ini yang menyifatkan Pas sebagai 'ultra konservatif' dan mundur disangkal Pas Segamat.

Yang Dipertuanya, Firdaus Masod berkata, kenyataan pemimpin MCA itu dibuat kerana mempertikai kenyataan Pas yang membantah penganjuran tarian yang didakwa separuh bogel di sebuah pusat membeli belah di Segamat, baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, Pas menyangkal dakwaan itu kerana tuduhan berkenaan seolah-olah mempamerkan suatu doktrin yang membahayakan norma masyarakat Malaysia.

“Kenyataan pemimpin MCA itu adalah satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan menghina kaum wanita di Malaysia yang selama ini terpelihara kehormatannya di khalayak ramai.

“Tuduhan ultra-konservatif dan mundur terhadap Pas juga satu tuduhan yang tidak berpaksi kepada kebenaran. Maju atau mundur sesebuah masyarakat dan negara bukan dinilai atas sudut keberanian rakyatnya memperdagangkan tubuh, tetapi berdasarkan pemikiran yang positif,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.


Firdaus berkata, Pas juga membantah program itu kerana menginginkan satu masyarakat Malaysia yang harmoni, dihormati dan dipandang mulia oleh masyarakat antarabangsa.

Katanya, pemimpin MCA terbabit sudah tersilap dan tersasar jauh dalam memberikan pandangan yang ternyata tidak selari dengan kehendak umum serta masyarakat.

“Saya menyeru kepada pemimpin-pemimpin politik agar lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan agar ia tidak mengelirukan orang ramai dan merosakkan minda rakyat,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Segamat, A Rahim Nin berkata, penganjuran sebarang acara atau program di pusat beli belah tersebut tidak melibatkan penyertaan agensi kerajaan.

Menurutnya, pihaknya hanya menerima cukai hiburan dan pembaharuan lesen.

“Bagaimanapun, aktiviti atau program perlu dimaklumkan kepada Pejabat Daerah Segamat terlebih dahulu.

“Penting di sini, aktiviti atau program yang hendak dilakukan perlu mengikut undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan dan tidak juga mengguris perasaan agama dan kaum lain,” katanya.

Rahim berkata, penganjur diingatkan supaya menghormati sensitiviti kaum lain sebelum menganjurkan sesuatu program kerana Malaysia merupakan negara yang berbilang sosio-budaya.

No comments:

Post a Comment