Thursday, June 6, 2013

Minta AS henti serangan pesawat tanpa pemandu

Minta AS henti serangan pesawat tanpa pemandu
Penyokong Perdana Menteri Pakistan yang baru Nawaz Sharif (gambar kecil) membawa patung harimau bagi meraikan pelantikan beliau di Islamabad semalam. 

Islamabad: Perdana menteri Pakistan yang baru, Nawaz Sharif semalam menggesa Amerika Syarikat supaya menamatkan serangan pesawat tanpa pemandu di barat laut negara itu, selepas ahli parlimen mengesahkan beliau untuk pemerintahan penggal ketiganya.

Kira-kira 13 tahun selepas digulingkan dalam satu rampasan kuasa yang menyebabkan beliau hidup dalam buangan, pemimpin berusia 63 tahun itu dipilih secara rasmi dalam satu undian pada Perhimpunan Kebangsaan dan akan mengangkat sumpah daripada Presiden Asif Ali Zardari.
Rakyat tak perlu ragu


Negara itu berhadapan dengan pelbagai masalah daripada pemotongan bekalan tenaga elektrik hingga kepada militan Taliban dan perdana menteri baru itu berkata rakyat tidak perlu ragu mengenai cabaran yang wujud.

Sharif turut menyokong rundingan damai dengan Taliban walaupun pihak tentera berkata mereka amat ragu dengan kemungkinan kejayaan yang akan dicapai.

Beliau juga secara umum mengkritik serangan pesawat tanpa pemandu yang membunuh timbalan panglima Taliban, Waliur Rehman minggu lalu dan mengulangi kenyataan bahawa kempen Amerika Syarikat itu melanggar kedaulatan negara.

Semalam Sharif menggunakan ucapan pertama beliau sebagai perdana menteri untuk mengulangi kebimbangannya mengenai perkara itu.
Hormati kedaulatan

“Kami menghormati kedaulatan yang lain dan mereka juga perlu menghormati kedaulatan dan kemerdekaan kita. Kempen ini perlu berakhir,” katanya menggesa satu strategi menyeluruh untuk mengusir pelampau.

Serangan pesawat tanpa pemandu Amerika Syarikat amat tidak popular di Pakistan tetapi Washington melihatnya sebagai satu kaedah penting dalam memerangi militan Taliban dan Al-Qaeda.

Hubungan dengan Washington akan menjadi bahagian penting dalam tempoh pemerintahan Sharif terutama dengan pengunduran tentera Pertubuhan Penjajah Atlantik Utara (NATO) dari negara jiran Afghanistan akhir tahun depan selepas lebih 12 tahun berperang. - AFP

No comments:

Post a Comment