Thursday, June 6, 2013

Nawaz dipilih PM Pakistan buat kali ketiga


NAWAZ memeriksa barisan askar negaranya di Pejabat Perdana Menteri di Islamabad semalam. - AFP


ISLAMABAD – Perdana Menteri baharu Pakistan, Nawaz Sharif memimpin negaranya buat kali ketiga semalam yang dipenuhi dengan isu pergerakan Taliban, rasuah, ekonomi dan krisis tenaga.
Pemimpin berusia 63 tahun itu yang dihukum penjara seumur hidup selepas digulingkan dalam satu rampasan kuasa pada tahun 1999 mendapat sokongan padu penduduk Punjab.
Punjab merupakan wilayah paling kaya dan mempunyai bilangan penduduk paling padat di Pakistan.
Nawaz digelar sebagai singa Punjab di wilayah tersebut.
Pakar dalam bidang ekonomi tetapi berlembut berhubung isu pergerakan Taliban, beliau mewarisi tugas berat untuk menangani kemerosotan kewangan dan memulihkan krisis tenaga di Pakistan.
Kesilapan tadbir urus selama bertahun-tahun, kekurangan pelaburan dan gejala rasuah dalam sektor tenaga menyebabkan Pakistan mengalami gangguan bekalan elektrik sehingga 20 jam sehari ketika suhu musim panas mencecah 50 darjah Celsius.
Lemah lembut ketika bertutur dan pemalu apabila berdepan media antarabangsa, Nawaz sebaliknya memiliki reputasi agresif dan berani semasa mentadbir negara sebagai Perdana Menteri dari tahun 1990 hingga 1993 dan untuk kali kedua dari 1997 hingga 1997.
Seorang penganalisis politik veteran, Talat Masood berkata, Nawaz kali ini berbeza daripada sikapnya sebelum ini yang panas baran dan berkonfrontasi dengan tentera Pakistan pada tahun 1990-an.
Pihak tentera amat berpengaruh di Pakistan dan kerap campur tangan dalam urusan pentadbiran negara.
“Secara peribadi, saya berpendapat beliau memperoleh banyak pengalaman sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Beliau kini seorang ahli politik yang jauh lebih matang.
“Nawaz kini arif tentang hubungan antara tentera dan pihak awam,” kata Talat kepada agensi berita AFP.
Negara-negara Barat menganggap Nawaz sebagai pemimpin yang pragmatik tetapi beliau pernah mencetuskan kontroversi apabila mencadangkan rundingan damai dengan Taliban.
Kumpulan militan tersebut dipersalahkan kerana membunuh beribu-ribu penduduk Pakistan sejak enam tahun lalu.
Pada Jumaat lalu, beliau secara terbuka mengkritik serangan pesawat dron Amerika Syarikat (AS) yang meragut nyawa seorang timbalan pemimpin sebuah pergerakan Taliban di barat daya negara ini.
Menurut Nawaz, serangan itu jelas mencabuli kedaulatan Pakistan sekali gus mengulangi rasa tidak puas hati Islamabad berhubung isu kontroversi tersebut.
Dilahirkan dalam sebuah keluarga usahawan yang kaya di ibu negeri wilayah Punjab, Lahore pada 25 Disember 1949, Nawaz mengambil jurusan undang-undang sebelum bekerja di kilang besi bapanya.
Beliau kemudian menceburi politik di bawah bimbingan Presiden Zia-ul Haq dan menjadi Menteri Kewangan dan seterusnya Ketua Menteri Punjab.
Nawaz memegang jawatan Ketua Menteri selama lima tahun dari tahun 1985.
Beliau dilantik sebagai Perdana Menteri pada 1990 bagi menggantikan Benazir Bhutto yang dituduh mengamalkan rasuah oleh Presiden Pakistan ketika itu, Ghulam Ishaq Khan.
Beliau kemudian menewaskan Benazir dalam pilihan raya Parlimen dan berkhidmat selama tiga tahun sebelum dipecat susulan dakwaan rasuah.
Nawaz digantikan oleh Benazir sebelum beliau kembali berkuasa selepas memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya tahun 1997.
Disokong oleh majoriti besar, beliau memperkenalkan dasar ekonomi bebas dan pada tahun 1998, Nawaz dijulang penduduk negaranya kerana menjadikan Pakistan sebagai sebuah kuasa nuklear.
Namun, pentadbirannya goyah berikutan konfrontasi dengan pihak tentera yang kemudian merampas kuasa pada tahun 1999.
Nawaz digulingkan oleh ketua tentera ketika itu, Jeneral Pervez Musharraf yang kemudian menjadi Presiden Pakistan.
Beliau dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh sebuah mahkamah tentera kerana jenayah pengkhianatan dan mengelak membayar cukai tetapi dibenarkan hidup dalam buangan di Arab Saudi pada 2000.
Bekas Perdana Menteri itu kembali ke tanah airnya tujuh tahun kemudian.
Bagaimanapun, Musharraf yang menjadi musuhnya meletak jawatan pada 18 Ogos 2008 sebelum beliau hidup dalam buangan di London pada November 2008.
Musharraf kembali ke Pakistan kemudian pada 24 Mac lalu untuk bertanding dalam pilihan raya umum negara itu.
Namun, Musharraf terus dirundung malang apabila beliau dikenakan tahanan di rumah berhubung kes pemecatan hakim semasa beliau menjadi Presiden.
Nawaz yang memimpin parti Liga Muslim Pakistan-Nawaz dipilih menjadi Perdana Menteri dengan mendapat 224 undi daripada sejumlah 342 anggota Dewan Rendah Parlimen.
Speaker Dewan Rendah Parlimen, Sardar Ayaq Sadiq berkata, pencabar Nawaz, Amin Fahim daripada Parti Rakyat Pakistan memperoleh 42 undi manakala calon Parti Tehreek-e-Insaf, Javed Hashmi menerima 31 undi.
Dalam ucapan pertamanya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri semalam, beliau mengulangi gesaan agar AS menamatkan serangan dron di barat daya Pakistan.
“Kami menghormati kedaulatan negara lain dan mereka juga perlu menghormati kedaulatan dan kemerdekaan negara kami. Kempen itu perlu ditamatkan,” katanya.
– Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0606&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2VNimXmku 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment