Friday, August 15, 2014

22 terkorban serangan di Ukraine


Seorang anggota pemberontak pro-Rusia yang membawa senjata api berjalan melepasi mayat seorang lelaki yang terbaring di tepi jalan selepas bandar Donetsk diserang tentera Ukraine, semalam. - AFP
LUGANSK, Ukraine 14 Ogos - Kira-kira 22 orang terkorban dalam satu serangan tentera Ukraine ke atas kumpulan pemberontak pro-Rusia yang menguasai sebuah kawasan di Lugansk, Ukraine dalam tempoh 24 jam lalu.
Serangan ke atas sebuah bandar dikuasai kumpulan pemberontak di timur Ukraine itu, sekali gus meningkatkan angka kematian daripada pihak tentera kerajaan dan pemberontak sebanyak dua kali ganda dalam tempoh dua minggu lepas.
"Satu serangan artileri dilancarkan di kawasan timur bandar ini. Sebuah bas, kedai dan beberapa blok apartmen turut terkena serangan bom," kata seorang pegawai pentadbiran serantau kepada AFP.
Seorang jurucakap daripada pejabat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Cecile Pouilly berkata, jumlah kematian meningkat kepada sekurang-kurangnya 2,086 orang pada 10 Ogos lalu daripada 1,129 orang pada 26 Julai lalu.
Pouilly berkata, sekurang-kurangnya 4,953 lagi cedera dalam konflik yang tercetus sejak pertengahan April lalu.
Seorang jurucakap pergerakan radikal nasionalis semalam berkata, sekurang-kurangnya 12 anggota militia yang membantu tentera kerajaan terkorban dalam serang hendap yang berlaku malam kelmarin di luar Donetsk.
Pihak berkuasa bandar itu berkata, bandar itu kini ketiadaan bekalan elektrik masuk hari ke-11.
Bekalan air mula kering dan beberapa buah kedai hanya menjual barangan keperluan asas sahaja. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140815/lu_07/22-terkorban-serangan-di-Ukraine#ixzz3APRAHdMH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment