Friday, August 15, 2014

Tiga tertuduh boleh dipenjara 20 tahun


Kuala Kubu Bharu: Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan melakukan khianat dan bersubahat dengan menggunakan bom buatan sendiri untuk memusnahkan sebuah bank di Bandar Bukit Beruntung di sini, akhir bulan lalu.

Bagaimanapun, semua tertuduh, Syaiful Bahrin Komari, 30, Mohammad Balqish Balya, 31, masing-masing peniaga gerai makanan dan Ahdmad Saifuddin Hasan, 30, pekerja kontrak, mengaku tidak bersalah apabila tuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.


Mengikut pertuduhan, Syaiful Bahrin didakwa melakukan khianat menggunakan bom buatan sendiri dengan niat untuk memusnahkan bangunan Public Bank di nombor 23 & 25, Jalan Melati 2B, Seksyen BB 11, Bandar Bukit Beruntung, Rawang, dekat sini, jam 5.10 pagi, 29 Julai lalu.



Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.


Sementara itu, dua lagi rakannya, Mohammad Balqish dan Ahdmad Saifuddin pula didakwa atas perbuatan bersubahat dengan Syaiful Bahrin untuk melakukan perbuatan itu.


Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 436 kanun sama yang memperuntukkan hukuman sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Jidah Mohd Jusan tidak mencadangkan jaminan terhadap ketiga-ketiga tertuduh atas alasan kes itu serius.


Bagaimanapun, peguam Mohd Yusri Mohd Yusoff memohon mahkamah membenarkan semua anak guamnya diikat jamin kerana mereka mempunyai tanggungan keluarga.

Hakim Zulhelmy Hassan membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan pasport antarabangsa mereka diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat tambahan.


Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 29 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/15

No comments:

Post a Comment