• Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nasrudin Hassan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nasrudin Hassan

SHAH ALAM - Pas mengingatkan rakan sekutunya dalam PR (PKR dan DAP) supaya tidak membuli dengan mengugut atau memberi kata dua kepada parti itu.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, Pas bukan sebuah parti yang boleh diperlakukan sesuka hati oleh rakan pakatannya.

“Sementara Pas mengamati senario ini (krisis politik di Selangor) sebelum memutuskan tindakannya pada 17 Ogos nanti, usahlah mengugut dan beri kata dua kepada Pas.

"Pas bukan parti hingusan di persada politik tanah air untuk dibuli sedemikian rupa,” katanya yang dipetik dari Facebooknya, hari ini.

Rabu lalu, Naib Presiden PKR, N Surendran menggesa agar Pas tidak perlu menunggu sehingga mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat pada 17 Ogos ini untuk menyatakan pendirian mereka tentang krisis Menteri Besar Selangor.

"Memandangkan deklarasi sokongan Umno terhadap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Pas tidak perlu menanti hingga 17 Ogos ini untuk bermesyuarat.

"Pas perlu bersama DAP dan PKR sekarang," tegasnya.

Dalam pada itu, Nasruddin mengingatkan agar ahli Pas tidak melakukan sebarang pengkhianatan dengan melakukan sabotaj atau mengambil kesempatan di atas apa yang terjadi di Selangor sekarang.

“Sementara itu, Pas mesti memberikan sepenuh komitmen untuk menjaga kerajaan negeri sebagaimana yang diamanahkan oleh rakyat.

"Jangan porak perandakan pentadbiran kerajaan negeri dengan elemen sabotaj dan lainnya,” katanya.