Friday, August 15, 2014

Khalid cabar Wan Azizah


Shah Alam: Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencabar Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mendakwa memperoleh sokongan majoriti 30 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) supaya membawa usul undi tidak percaya terhadapnya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Beliau berkata, proses itu penting memandangkan kerajaan negeri Selangor mempunyai peraturan, undang-undang serta proses perundangan yang perlu dipatuhi semua pihak termasuk rakyat, pemerintah dan pentadbiran negeri.


“Saya maklum pengumuman Wan Azizah yang mendakwa beliau mendapat sokongan majoriti ADUN Selangor. Sungguhpun begitu, dakwaan ini perlu diterjemahkan melalui proses undi tidak percaya dalam DUN,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.



Abdul Khalid berkata, sehingga proses itu berlaku, pentadbiran kerajaan Selangor akan berjalan seperti biasa.


“Semua usaha ini tertakluk kepada kuasa Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor,” katanya.


Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga Rodziah Ismail sah meletak jawatan sebagai ahli Exco kerajaan negeri berkuat-kuasa semalam.

Abdul Khalid berkata, peletakan jawatan Rodziah sah mengikut Artikel 53 (7) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.


“Artikel berkenaan menyatakan mana-mana ahli Exco boleh meletak jawatan pada bila-bila masa.

“Kita juga mengucapkan terima kasih kepada Rodziah atas sumbangan dan khidmat diberikan sepanjang menjadi Exco kerajaan negeri Selangor,” katanya.


Sementara itu, dua hari selepas dipecat sebagai Exco kerajaan negeri, Datuk Teng Chang Khim memulangkan kereta Toyota Camry milik kerajaan negeri, semalam.


Bekas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan itu menjadi bekas Exco pertama yang memulangkan kereta digunakan untuk urusan rasminya sebelum ini.


Kereta jenis Toyota Camry berwarna hitam itu digunakan ketika berkhidmat sebagai Exco dilihat sudah diletakkan di tempat letak kenderaan Exco di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, kira-kira jam 11 pagi semalam.


Teng ketika dihubungi berkata, beliau memulangkan kenderaan rasmi itu walaupun masih belum menerima sebarang arahan rasmi daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohammed Khusrin Munawi.


“Saya sudah menghubungi pemandu saya dan memaklumkan kepadanya supaya tidak lagi mengambil saya di rumah dan kini saya hanya memandu kereta sendiri sejak malam semalam (kelmarin),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/15

No comments:

Post a Comment