Friday, August 15, 2014

Husam minta Khalid jangan peralatkan Pas

Naib Presiden Pas Husam Musa yang dikenali sebagai tokoh yang "autentik" dan tidak mudah membuat kenyataan mengulas berhubung kemelut di Selangor, akhirnya tampil juga untuk memberi respons terhadap apa yang berlaku. Mungkin beliau sudah tidak boleh "ork" (boleh tahan) dengan apa yang berlaku sekarang ini.

Dengan penuh berhati-hati Husam telah memberi pandangan jilan kepada Abdul Khalid Ibrahim menerusi surat terbuka kepada Khalid dengan apa yang berlaku yang disifatkan MB bebas itu sebagai telah memperalatkan Pas untuk kepentingan politiknya.

Kata Husam, Khalid sebagai seorang insan gentlemen dan berakhlak mulia mesti tahu batas beliau menumpang Pas dan tahu yang Presiden Pas telah menghulurkan "ranting zaitun" kepadanya saat Khalid kelemasan.

Bekas Exco kanan Kerajaan Kelantan itu tidak lupa menyedarkan Khalid bahawa bekas MB Pakatan Rakyat itu sudah hilang legitimasinya sebagai MB apabila tidak mendapat majoriti di Dewan dan tindakannya terus kekal di kerusi MB mencemarkan institusi raja.

Dalam pada itu Husam berpendapat Pas tidak perlu timbul tenggelam dengan Khalid Ibrahim sehingga mengorbankan prinsip dan namanya yang lebih besar dari Khalid. Pas sebagai sebuah parti politik tidak wajar membeli kuda yang kalah lumba untuk dijadikan alat.

Naib Presiden Pas itu lantas menggesa Khalid agar meletak jawatan secara terhormat sambil mengingatkan meletak jawatan dalam keadaan sekarang bukan berakhir sebuah kerjaya politik. Bagi Husam masa depan Khalid dalam politik masih ada kalau pengudurannya dibuat dengan penuh bermaruah.

"Kerjaya politik itu bukan berakhir dengan meletak jawatan, tetapi kerjayaan politik berakhir bila ia dibuat secara tidak terhormat," demikian tegas Husam.

No comments:

Post a Comment