Wednesday, August 27, 2014

Berdagang dengan Palestin, bukan Israel


Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Kerajaan Malaysia tidak menjalinkan hubungan ekonomi secara langsung dengan Israel, namun menegaskan eksport negara ke Palestin terpaksa melalui Israel yang mengawal laluan perdagangan.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pintu masuk ke Palestin dikawal oleh pihak berkuasa sempadan Israel kecuali di sempadan Mesir - Semenanjung Gaza, dan Mesir hanya membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan, ubat-ubatan dan makanan ke Palestin melalui sempadan Rafah.
Beliau berkata, segala aktiviti perdagangan tidak langsung di antara Malaysia dan kawasan tersebut juga adalah untuk menyokong pembangunan ekonomi dan bantuan kemanusiaan rakyat Palestin.
"Dasar luar Malaysia adalah tidak menjalin hubungan diplomatik dengan Israel. Sejajar dengan dasar tersebut dan ditunjangi prinsip kemanusiaan dan keamanan dunia, kementerian menyokong penuh gesaan komuniti antarabangsa dalam mendesak agar kezaliman ke atas rakyat Palestin di Gaza dihentikan serta-merta," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, pihaknya difahamkan seramai 40,000 rakyat Palestin memasuki Israel setiap hari yang mana seramai 30,000 daripadanya adalah untuk bekerja manakala seramai 10,000 mendapat permit untuk bermalam di Israel.
"Berdasarkan pemerhatian terdapat tiga cara perdagangan dengan Israel, pertama secara amalan rangkaian bekalan antarabangsa syarikat-syarikat antarabangsa (MNC), produk yang dihantar ke Palestin melalui Israel dan eksport ke Israel tetapi berkemungkinan bukan secara langsung kerana dihantar dari negara-negara ketiga," jelas beliau.
Jelas Mustapa lagi, perangkaan Pusat Perdagangan Antarabangsa (ITC) menunjukkan pada tahun 2013 Malaysia menduduki tangga ke-32 dalam senarai pengeksport ke Israel dan tangga ke-12 dalam senarai pengimport dari Israel.
"Data yang dikeluarkan oleh ITC mencerminkan eksport mengikut negara asal (country of origin), iaitu kemasukan barangan buatan Malaysia ke Israel melalui negara ketiga seperti Singapura dan Hong Kong yang turut direkodkan sebagai eksport dari Malaysia. Cara merekod perdagangan seperti ini diamalkan oleh kebanyakan negara lain.
"Amalan perniagaan dan pelaburan antarabangsa ini adalah berada di luar kawalan Kerajaan Malaysia," kata beliau lagi.
Bagaimanapun katanya, kewujudan amalan tersebut tidak menjejaskan pendirian dan ketegasan Kerajaan Malaysia dalam menyokong seruan dan gesaan komuniti antarabangsa yang mendesak kezaliman ke atas rakyat Palestin di Gaza dihentikan serta-merta.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20140827/ek_01/Berdagang-dengan-Palestin-bukan-Israel#ixzz3BaD2sSMs
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment