Wednesday, August 27, 2014

PKR, DAP tetap mahu Wan Azizah jadi MB Selangor


PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Keadilan Ke-10 PKR 2014 di Stadium Malawati Shah Alam minggu lalu.

 SELASA, 26 OGOS 2014 @ 11:13 PM
KUALA LUMPUR: PKR dan DAP tetap mahukan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk dipertimbangkan sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim walaupun Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menitahkan semua pimpinan parti dalam Pakatan Rakyat mencadangkan lebih daripada dua nama kepada baginda untuk diperkenankan.

Dalam satu kenyataan bersama malam ini oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua, PKR dan DAP menegaskan pencalonan tunggal itu adalah mengikut konvensi dalam pelantikan Menteri Besar Selangor seperti yang dilakukan pada 2013 apabila hanya nama Abdul Khalid dipersembahkan untuk perkenan Sultan Selangor.

"DYMM Tuanku Sultan Selangor turut menitahkan parti-parti Pakatan Rakyat mencalonkan lebih dari satu nama dalam melantik Dato' Menteri Besar dalam tahun 2013. Titah DYMM Tuanku Sultan Selangor itu disampaikan kepada KEADILAN, PAS dan DAP melalui satu surat bertarikh 7 Mei 2013 (yang disertakan bersama) yang melambangkan konvensi yang diamalkan DYMM Tuanku Sultan Selangor sebelum ini.



"Susulan itu, mengambil kira titah DYMM Tuanku Sultan Selangor dan konvensi yang diamalkan sebelum ini dalam pelantikan Dato' Menteri Besar, parti-parti Pakatan Rakyat telah mencalonkan satu nama iaitu Tan Sri Khalid Ibrahim untuk dipertimbangkan DYMM Tuanku Sultan Selangor dalam tahun 2013. Pencalonan ini diperkenankan dan diterima pakai oleh DYMM Tuanku Sultan Selangor.



"Oleh yang demikian, KEADILAN dan DAP menjunjung titah DYMM Tuanku Sultan Selangor itu dan akan mempersembahkan pencalonan YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk dipertimbangkan DYMM Tuanku Sultan Selangor sejajar dengan konvensi yang diamalkan oleh Pakatan Rakyat dalam tahun 2013 memandangkan YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sudah mendapat sokongan majoriti sekurang-kurangnya 30 orang Ahli Dewan Negeri (termasuk YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sendiri)," menurut kenyataan itu.

Petang tadi, PAS Selangor menyatakan ia menjunjung kasih dan menyambut baik titah Sultan Sharafuddin berhubung kedudukan Menteri Besar Selangor.

Setiausahanya, Mohd Khairuddin Othman, berkata PAS Selangor yakin rakyat Selangor juga menyambut baik titah baginda itu.

"PAS Selangor akan terus mempertahankan Pakatan Rakyat dan kita serah sepenuhnya kepada PAS Pusat untuk menentukan calon yang terbaik," katanya dalam satu kenyataan petang tadi.

No comments:

Post a Comment