Wednesday, August 27, 2014

Presiden Ukraine bubar Parlimen


Kumpulan pemberontak pro-Rusia (kanan) mengiringi tahanan perang Ukraine di Donetsk, Ukraine, Ahad lalu. - REUTERS
KIEV 26 Ogos - Presiden Ukraine, Petro Poroshenko membubarkan Parlimen semalam bagi menyingkirkan penyokong bekas Presiden pro-Rusia, Viktor Yanukovych dan mengumumkan pilihan raya umum akan diadakan pada 26 Oktober ini ketika konflik antara Ukraine dengan kumpulan pemberontak pro-Rusia masih berterusan.
Keputusan Poroshenko itu telah dijangka selepas kerajaan campuran Ukraine yang menyingkirkan Yanukovych menerusi tunjuk perasaan awal tahun ini, tumbang pada 24 Julai lalu.
Poroshenko dan kerajaannya yang menyebelahi polisi Eropah berharap, mampu menstabilkan situasi di timur Ukraine pada Oktober ini bagi membolehkan pilihan raya umum dijalankan dalam usaha mengukuhkan pentadbiran ketika berurusan dengan Rusia.
"Saya telah memutuskan untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan 26 Oktober ini," kata beliau menerusi mesejnya dalam laman web, Twitter.
Dalam satu kenyataan di laman web Presiden semalam, Poroshenko turut berharap pilihan raya yang akan diadakan itu, boleh mewujudkan kerajaan campuran yang mampu mengubah situasi politik serta ekonomi selepas negara berkenaan menghadapi masalah penyalahgunaan kuasa.
"Parlimen yang ditubuhkan selama setahun setengah itu masih diselubungi dengan sokongan terhadap Yanukovych. Mereka turut mengamalkan undang-undang diktator yang menyebabkan ratusan penunjuk perasaan terkorban," kata beliau.
Tambah Poroshenko, terdapat beberapa Ahli Parlimen yang dikesan memberi sokongan kepada pemberontak pro-Rusia.
Dalam perkembangan lain, pihak keselamatan Ukraine semalam melaporkan, tenteranya menangkap 10 orang anggota tentera penerjun udara Rusia yang memasuki kawasan Ukraine.
Dalam satu kenyataan, anggota tentera daripada jabatan tentera udara yang berpusat di Rusia itu, ditahan berdekatan perkampungan Dzerkalne, kira-kira 50 kilometer di tenggara Donetsk.
"Pihak penyiasat sedang meneliti tindakan tentera udara Rusia yang memasuki kawasan sempadan Ukraine secara haram," jelas kenyataan itu. - REUTERS/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140827/lu_05/Presiden-Ukraine-bubar-Parlimen#ixzz3BY2dJgbn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment