Wednesday, August 27, 2014

Lesapkan wang mangsa MH370: Pegawai bank, suami diarah lantik peguam


Nur Shila Kanan

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Mahkamah Sesyen di sini memberi tempoh sebulan kepada seorang pegawai bank HSBC dan suaminya untuk melantik peguam setelah mereka dituduh atas 16 pertuduhan memindah dan mengeluarkan wang daripada akaun simpanan empat mangsa pesawat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370 secara tidak sah membabitkan jumlah RM85,180, pertengahan tahun ini.
Hakim Norsharidah Awang membuat keputusan itu hari ini selepas membenarkan permohonan Nur Shila Kanan dan Basheer Ahmad Maula Sahul Hameed, masing-masing berusia 33 tahun, melantik peguam mewakili mereka.
Beliau juga memberitahu, walaupun kedua-dua tertuduh gagal mendapatkan peguam pada sebutan semula kes itu, 25 September ini, mahkamah akan menetapkan tarikh perbicaraan.
Dalam prosiding sebutan kes itu hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadhli Mahmud memberitahu, pihak pendakwaan masih belum menyerahkan sebarang dokumen kepada mana-mana pihak yang mewakili tertuduh.
Nur Shila didakwa atas 12 pertuduhan dan suaminya yang bekerja sebagai mekanik dituduh atas empat pertuduhan.
Bagi empat pertuduhan pertama, Nur Shila didakwa memindahkan wang daripada akaun simpanan HSBC milik Hue Pui Heng sebanyak RM40,000 ke dalam akaun Tian Jun Wei dan RM35,000 lagi ke dalam akaun Ali Faran Khan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Jenayah Komputer 1997 yang membawa hukuman denda sehingga RM150,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.
Tertuduh juga didakwa atas empat pertuduhan dengan curangnya menggunakan dokumen palsu sebagai tulen bagi memohon kad debit atas nama Jun Wei; mengisi dua borang pindahan tempatan akaun simpanan didaftar menggunakan nama Jun Kun dan pramugara, Tan Size Hiang; serta membuat permohonan bagi perbankan internet atas nama Judy Margaret Lai bagi mendapatkan Perkhidmatan Keselamatan (Security Device) supaya dapat mengaktifkan perkhidmatan perbankan internet.
Bagi keempat-empat pertuduhan itu, Nur Shila didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Nur Shila turut didakwa atas dua pertuduhan menipu dua penyelia bank tersebut, Nor Aini Derus @ Mat Rose dan Mohd. Fazli Mokhtar untuk mempercayai permohonan baharu kad debit oleh Jun Wei dan perbankan internet, Judy Margaret dibuat oleh pemohon-pemohon sendiri.
Bagi dua pertuduhan itu, ibu kepada tiga anak berusia antara enam bulan dan lima tahun itu didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Sementara bagi dua lagi pertuduhan, wanita itu didakwa mencuri wang berjumlah RM1,030 daripada akaun Jun Kun dan RM1,500 daripada akaun Size Hiang.
Nur Shila juga didakwa atas empat pertuduhan alternatif iaitu mencuri wang milik empat mangsa yang sama.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di premis HSBC cawangan Lebuh Ampang, di No. 2, Jalan Lebuh Ampang, di sini antara 14 Mei dan 8 Julai lalu.
Sementara Basheer Ahmad Maula pula didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kad debit akaun simpanan Jun Wei untuk mengeluarkan wang berjumlah RM7,650 dalam empat transaksi berasingan. Dia juga menghadapi empat pertuduhan alternatif iaitu mencuri wang berjumlah RM7,650 daripada akaun simpanan Jun Wei.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) HSBC Amanah, Ampang Point, Ampang, dekat sini antara pukul 10.02 pagi, 15 Mei dan pukul 11.28 malam, 29 Jun lalu.
Kesemua pertuduhan mencuri terhadap Basheer Ahmad Maula dan Nur Shila dikemukakan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan sebanyak RM110,643 milik keempat-empat individu itu lesap daripada akaun bank mereka, dipercayai dipindahkan oleh kakitangan bank tanpa kebenaran.
Siasatan awal polis mendapati daripada jumlah itu, sebanyak RM35,000 dipindahkan ke akaun kelima menerusi perbankan internet.
Kejadian disedari pada 18 Julai lalu oleh seorang petugas bank yang mengesan beberapa transaksi pengeluaran dan pemindahan secara mencurigakan daripada empat akaun berkenaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140826/ma_06/Lesapkan-wang-mangsa-MH370-Pegawai-bank-suami-diarah-lantik-peguam#ixzz3BY4rQdHd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment