Wednesday, August 27, 2014

Michael Brown dikebumi


St Louis (Amerika Syarikat): Orang ramai berhimpun bagi memperingati Michael Brown - remaja yang mati ditembak anggota polis berkulit putih awal bulan ini dalam upacara pengebumiannya, semalam.

Lebih 4,500 berhimpun termasuk ibu bapa Trayvon Martin, remaja kulit hitam berusia 17 tahun yang turut mati ditembak anggota rukun tetangganya di Florida serta sepupu Emmitt Till, remaja berusia 14 tahun yang dibunuh beberapa lelaki kulit putih di Mississippi pada 1955.


Kematian Till memulakan pergerakan hak asasi golongan kulit hitam di Amerika.

Mereka turut mengambil peluang itu untuk menggesa masyarakat Afrika Amerika mendesak kerajaan mewujudkan perundangan lebih ketat untuk memastikan kejadian tidak berulang.


Sepupu Brown, Eric Davis berkata: “Cukuplah kes seperti ini berlaku. Kita perlu bersatu dan bersuara lantang untuk memastikan perubahan,” katanya.


Turut dilihat di acara itu, beberapa pegawai Rumah Putih, aktivis Jesse Jackson, pengarah filem Spike Lee, penyanyi rap Sean Combs dan beberapa anak aktivis Martin Luther King.

Aktivis Al Sharpton yang turut hadir menggesa tindakan diambil untuk memantau pihak polis demi kebaikan masyarakat.

“Kami bukanlah antipolis, malah amat menghormati mereka.

“Namun, tidak dapat dinafikan ada yang tidak teragak-agak bertindak di luar batasan dan golongan terbabit perlu diberi hukuman sewajarnya, sama seperti sesiapa saja yang melakukan kesalahan,” katanya.

Brown tidak bersenjata ketika kejadian 9 Ogos lalu.

Polis mendakwa pegawai polis Darren Wilson mengarahkan Brown dan rakannya menjalani pemeriksaan di tepi sebuah jalan di subbandar Ferguson.

Wilson didakwa diserang dan ditolak masuk ke kereta perondanya.

Saksi mendakwa Brown dilihat mengangkat tangannya tanda menyerah diri ketika kejadian. Laporan bedah siasat menunjukkan Brown ditembak sekurang-kurangnya enam kali.

Rentetan kematian Brown melihat protes jalanan selama dua minggu yang ada kalanya ganas di Ferguson. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/27

No comments:

Post a Comment