Asiah (kanan) menemui Nur Hidayah yang masih dirawat di HSA.
Asiah (kanan) menemui Nur Hidayah yang masih dirawat di HSA.
JOHOR BAHRU - Bapa bayi malang yang digigit biawak di kuarters sebuah resort Kampung Tekek Pulau Tioman, Pahang, Selasa lalu, memberitahu kerap ternampak reptilia itu berkeliaran di persekitaran kediamannya sebelum ini.

Abdul Rahman Ismail, 38, berkata kejadian yang tidak dijangka sehingga mencederakan bayi tunggalnya, Nur Hidayah, lapan bulan, benar-benar mengejutkannya yang ketika itu berada di tempat kerja.

Menurutnya, kawasan itu menjadi habitat reptilia berkenaan meskipun persekitaran kediamannya bersih dan bukan kawasan hutan, malah ditanam dengan pelbagai pokok hiasan.

“Saya rasa macam nak pitam selepas diberitahu oleh majikan anak saya dicederakan seekor biawak.

“Setiap hari saya nampak biawak berkeliaran di kawasan rumah saya sejak tinggal di situ hampir setahun lalu, namun tak menyangka menyerang bayi saya walaupun kediaman berpagar,” katanya kepada media sewaktu menerima lawatan Pengerusi Jawatankuasa
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Asiah Md Ariff ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, semalam.

Sementara itu, Asiah berkata, pihaknya akan memberikan khidmat kaunseling melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada ibu bayi berkenaan untuk memulihkan kesan trauma yang dialaminya.

Menurutnya, Nur Hidayah masih diberi rawatan susulan dan pemantauan rapi dalam tempoh seminggu untuk memastikan keadaan benar-benar selamat sebelum dibenarkan pulang.

“Alhamdulillah, bayi ini sudah beransur pulih dan ceria, cuma ibunya masih trauma kerana melihat sendiri anaknya ditarik dan diserang biawak.

“Kita akan memberi khidmat kaunseling kepada ibu mangsa supaya sekurang-kurangnya dapat melega dan meredakan traumanya,” katanya.