Friday, September 26, 2014

‘Panas’ tetapi terkawal


Di beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang dianggap antara lokasi panas, penyokong kedua-dua parti - Barisan Nasional (BN) dan PAS dilihat berbalas laungan untuk memujuk pengundi, tetapi tidak berlaku kejadian tidak diingini.

Cuma di Sekolah Kebangsaan Geting yang dilaporkan wujud sedikit ketegangan akibat provokasi penyokong, tetapi berjaya dileraikan polis yang mengawal keadaan sejak pagi.
Begitu juga di Sekolah Kebangsaan Bendang Pak Yong yang menjadi pusat mengundi calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim yang difahamkan berlaku perang mulut membabitkan penyokong kedua-dua parti.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada sidang media semalam berkata, kewujudan penyokong di semua 11 pusat mengundi tidak melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya.

“Saya meronda di semua pusat mengundi dan mereka (penyokong) berada dalam jarak yang kita tetapkan iaitu lebih 50 meter dari pusat pengundian.
Foto
KESESAKAN lalu lintas yang agak teruk di simpang tiga lampu isyarat menghala ke Tumpat dari pekan Pengkalan Kubor, semalam.
“Walaupun masih ada yang membawa sepanduk seperti memujuk pengundi, namun secara kasar tidaklah sehingga melanggar peraturan. Juga tiada provokasi dan pergaduhan.

“Cuma yang memberi sedikit kesulitan ialah kesesakan lalu lintas sejak jam 8 pagi. PRK ini juga menyaksikan tujuh laporan diterima dengan empat berkaitan bendera manakala tiga lagi berhubung poster kempen,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim turut menafikan dakwaan wujud pengundi hantu seperti yang didakwa pihak tertentu.

Beliau berkata, lelaki berusia 47 tahun yang didakwa tidak layak mengundi itu adalah rakyat Malaysia yang sah.

“Tiada isu pengundi hantu seperti didakwa kerana lelaki berkenaan bukan warga Thailand. Lelaki berkenaan seorang warga Malaysia yang mengundi di Sekolah Kebangsaan Bendang Pok Yong,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/26

No comments:

Post a Comment