Friday, September 26, 2014

Nigeria hampir bebas wabak Ebola



Reuters
SEKUMPULAN murid sebuah sekolah rendah di bandar Abuja, Nigeria diajar menggunakan cecair pembasmi kuman bagi mengelak jangkitan virus Ebola kelmarin.


LAGOS - Pasukan perubatan di Nigeria telah membebaskan semua pesakit yang berada di bawah pengawasan kerana disyaki dijangkiti virus Ebola, menurut Kementerian Kesihatan kelmarin.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Nigeria, Dan Nwomeh berkata, tiada seorang pun pesakit kini diletakkan di bawah pengawasan virus Ebola di mana-mana bahagian di negara itu.
"Semua yang disyaki menghidap virus ini telah pun menamatkan tempoh pengawasan mandatori selama 21 hari yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)," katanya.
Bagaimanapu, menurut WHO, negara itu perlu melalui tempoh masa selama 42 hari tanpa sebarang jangkitan baharu sebelum boleh mengisytiharkan bebas daripada wabak berbahaya tersebut.
Sejak wabak tersebut tercetus pada Julai lalu, virus Ebola telah menjangkiti seramai 20 orang di Nigeria dan lapan daripada mereka disahkan meninggal dunia.
Secara keseluruhan, seramai 529 pesakit yang diletakkan di bawah pengawasan di Lagos dan Rivers State telah disahkan bebas daripada virus berkenaan.
Daripada lapan kematian yang direkodkan, empat daripadanya merupakan pekerja kesihatan yang telah merawat seorang pegawai Liberia, Patrick Sawyer.
Sawyer membawa virus itu ke Nigeria selepas melakukan perjalanan dari Monrovia, lokasi di mana wabak itu merebak.
Menurut laporan WHO lagi, Nigeria tidak lagi melaporkan sebarang kes berkaitan virus Ebola sejak 8 September lalu.
Wabak virus Ebola masih dianggap serius dan telah menyebabkan hampir 3,000 kematian di lima buah negara di Afrika Barat. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0926&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3EOLEgYiq 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment