Monday, October 20, 2014

Detik kritikal Hong Kong


Hong Kong: Aktivis prodemokrasi semalam menuduh pihak polis menggunakan kekerasan melampau terhadap penunjuk perasaan selepas pertempuran sengit berlaku di Hong Kong dalam keadaan yang digelar seorang ahli politik kanan sebagai ‘detik kritikal’ buat wilayah itu.

Puluhan anggota polis yang menggunakan topi keledar dan perisai memaksa peserta demonstrasi yang berhimpun di sekatan didirikan mereka di Mongkok supaya berundur dengan mengancam mereka berulang kali menggunakan cota.

Peserta perhimpunan dikenali sebagai Jackie, 30, yang cedera di kepala dan kemeja-T dipakai berlumuran darah menuduh pihak polis bertindak keterlaluan.

“Mereka memukul tanpa sebab ketika kami berdiri di belakang sekatan.

“Saya dipukul cota polis empat atau lima kali sehingga terpaksa melindungi kepala dengan tangan, namun mereka tidak peduli dan terus memukul badan saya.

“Beberapa orang di belakang saya membuka payung mereka namun polis terus memukul mereka sedangkan kami semua tidak berkelakuan agresif langsung,” katanya.

Seramai 20 orang cedera pada hari keempat perbalahan yang berlaku selepas tiga minggu perhimpunan serta sekatan jalan dilakukan secara aman di tiga kawasan paling sibuk Hong Kong.

Ada penunjuk perasaan terpaksa diusung keluar dan ada juga yang dirawat untuk kecederaan ringan.

Ramai dilihat memakai topi keras dan menggunakan barangan serta perkakasan rumah termasuk pelapik getah bayi sebagai alat perlindungan.

Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan peserta demonstrasi malah ketua kumpulan Liga Pertahanan Hong Kong James Hon berkata, mereka tidak langsung melakukan sebarang provokasi.

“Polis melanggar prinsip penggunaan kekerasan minimum untuk menyuraikan demonstrasi kami yang aman ini.

“Mereka menggunakan cota dan itu mampu mengakibatkan kecederaan atau maut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Oktober 2014 @ 5:04 AM


Jackie, penunjuk perasaan prodemokrasi menunggu gilirannya untuk dirawat di hospital selepas mengalami kecederaan di kepala ketika bertempur dengan polis di Mong Kok.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/2985#sthash.T8EArbqG.dpuf

No comments:

Post a Comment