Monday, October 20, 2014

Jokowi angkat sumpah hari ini


JOKOWI


JAKARTA – Bekas Gabenor Jakarta, Joko Widodo mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia yang baharu hari ini dalam satu majlis di parlimen negara itu yang turut dihadiri oleh beberapa pemimpin dunia.
Joko atau lebih dikenali sebagai Jokowi menjadi Presiden Indonesia ketujuh selepas mengambil alih pemerintahan daripada Susilo Bambang Yudhoyono yang memerintah selama 10 tahun.
Antara pemimpin dunia yang dijadualkan hadir pada majlis itu termasuklah Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry, Perdana Menteri Australia, Tony Abbott dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Selepas majlis tersebut, pemimpin berusia 53 tahun tersebut akan menaiki sebuah kereta kuda sebelum diarak di seluruh Jakarta menuju ke Istana Presiden.
Seramai 24,000 pasukan anggota keselamatan termasuk polis dan tentera ditugaskan mengawal perayaan tersebut yang turut dimeriahkan dengan satu konsert di luar Istana Presiden.
Jokowi merupakan Presiden pertama Indonesia tanpa latar belakang keluarga elit dan tentera sejak kejatuhan pemerintahan diktator Suharto dan kemenangan beliau memberi harapan baharu kepada penduduk negara itu.
Dilahirkan di sebuah kawasan setinggan di Surakarta, beliau dibesarkan oleh bapanya yang merupakan seorang pembuat perabot sebelum menceburi politik dan dilantik sebagai Gabenor Jakarta pada tahun 2012.
“Pelantikan Jokowi sebagai Presiden menjadi satu detik bersejarah oleh penduduk di negara ini,” kata seorang penganalisis politik dari Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa Indonesia, Tobias Basuki.
Bagaimanapun, Tobias memberi amaran Jokowi bakal berdepan cabaran besar untuk memimpin negara yang mempunyai seramai 250 juta penduduk tersebut yang kini berada dalam keadaan tidak menentu.
Cabaran utama Jokowi adalah mengurangkan subsidi minyak negara itu yang tinggi sehingga kerajaan terpaksa memperuntukkan satu perlima daripada bajet negara itu untuk subsidi.
Jokowi yang mewakili Parti Demokratik Indonesia-Perjuangan (PDI-P) dilantik sebagai Presiden selepas memenangi Pilihan Raya Presiden negara itu yang berakhir pada Julai lalu. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1020&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3Gf4MZ0wW 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment