Monday, October 20, 2014

Joko Widodo angkat sumpah Presiden Indonesia ketujuh

ISNIN, 20 OKTOBER 2014 @ 11:50 AM

 
Daripada Azman Zakaria


JOKO Widodo mengangkat sumpah sebagai Presiden baharu Indonesia di Bangunan Parlimen, Jakarta, hari ini. Widodo, 53, yang sebelum ini Gabenor Jakarta memenangi pilihan raya presiden pada Julai lalu dengan kelebihan 53 peratus undi. - Foto AP
JAKARTA: Joko Widodo menjadi Presiden baharu Indonesia yang ketujuh hari ini selepas mengangkat sumpah jawatan pada majlis pelantikan sebentar tadi.

Joko, 53, yang mesra dengan panggilan Jokowi mengambil alih pentadbiran daripada Susilo Bambang Yudhoyono yang tamat tempoh pentadbiran selama dua penggal.



Jokowi menewaskan Prabowo pada pilihan raya presiden Julai lalu.

Turut mengangkat sumpah pelantikan jawatan pada majlis di Dewan Permesyuaratan Rakyat (DPR) di sini ialah Jusuf Kalla sebagai Naib Presiden.


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyertai kalangan 18 kenamaan asing dan sembilan ketua kerajaan bagi menghadiri upacara mengangkat sumpah Joko Widodo sebagai Presiden baharu Indonesia di Jakarta, pagi ini. - Foto AP
Gandingan Jokowi-JK (Jusuf Kalla) akan memimpin negara dengan penduduk seramai 250 juta itu selama tempoh lima tahun sehingga 2019.

Prabowo turut hadir pada majlis pelantikan itu dan bangun tanda hormat ketika kehadirannya diumumkan.

Seramai 18 orang kenamaan asing dan enam ketua negara dan kerajaan hadir termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

AP melaporkan, upacara mengangkat sumpah jawatan turut dihadiri Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry.


SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat, John Kerry turut menghadiri upacara angkat sumpah Presiden Indonesia ketujuh. - Foto AFP
Widodo, yang sebelum ini Gabenor Jakarta memenangi pilihan raya presiden pada Julai lalu dengan kelebihan 53 peratus undi.

Bekas jurujual perabot itu mencatat sejarah kerana menjadi presiden pertama yang bukannya berasal daripada golongan ahli politik terkenal, ahli perniagaan dan ketua tentera elit negara itu.

Sementara itu kain pemidang direntang di tepi jalan raya menuju bangunan DPR dengan kata-kata ucapan tahniah kepada Jokowi-JK.


JOKO "Jokowi" Widodo mengangkat sumpah sebagai Presiden baharu Indonesia di Bangunan Parlimen, Jakarta, hari ini. - Foto AP

BEKAS Presiden Indonesia, Megawati Sukarnoputri melambaikan tangan ketika hadir untuk upacara mengangkat sumpah jawatan pada majlis pelantikan presiden. - Foto AP

No comments:

Post a Comment