Monday, October 20, 2014

Teori Isi Petrol Ikut Liter Lebih Berbaloi, Tidak Tepat - Pakar


Diterbitkan: Isnin, 20 Oktober 2014 10:00 AM

PETALING JAYA: Teori pengisian petrol mengikut liter lebih berbaloi berbanding mengikut ringgit adalah tidak tepat, jelas pakar.
Pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai berkata, secara matematiknya pengisian petrol menggunakan dua kaedah tersebut tidak menunjukkan sebarang perbezaan.
"Sebenarnya secara teorinya, jumlah minyak yang diperoleh sepatutnya sama. Saya tidak melihat sebarang perbezaan menerusi dua kaedah itu," katanya kepada mStar Online.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan kaedah pengisian terbaharu itu diamalkan kerana ada sesetengah stesen minyak yang mengambil kesempatan mengubahsuai meter pada pam minyak.
"Ada sesetengah pengusaha (stesen minyak) yang ambil kesempatan. Jika kita isi mengikut liter, kita dapat menyemak dan memastikan wang yang dibayar sepatutnya bergantung kepada jumlah liter," katanya.
Barjoyai Bardai.
Barjoyai berkata, amalan pengisian petrol mengikut liter mempunyai kelebihan kerana pemandu boleh mengetahui jumlah penggunaan minyak bagi setiap liter.
"Ada kebaikannya. Jika kita isi dengan liter, kita boleh tentukan berapa kadar penggunaan seliter minyak untuk kenderaan kita," katanya.
Malah, Barjoyai berkata, amalan pengisian petrol mengikut liter boleh dijadikan satu budaya baharu dikalangan rakyat Malaysia.
"Ia boleh dijadikan amalan baharu. Macam dulu juga, mula-mula kita timbang pakai kati tapi sekarang kita pakai kilogram. Maknanya, lebih baik pakai kilogram kerana seluruh negara menggunakannya.
"Jadi dalam kes ini, kita gunakan liter sebab ia adalah asas bagi menentukan kadar penggunaan untuk setiap kilometer," katanya.
Sementara itu, pensyarah kanan Jabatan Ekonomi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr. Baayah Baba turut berpendapat teori tersebut tidak logik.
"Apa bezanya isi liter dengan ringgit? Saya tak nampak ia boleh jadi masalah. Lainlah kalau kita isi minyak RM50.33, jadi jumlah bayaran akan dibundarkan ke RM 50.35... jadi dua sen akan dapat ke stesen minyak," katanya.
Tips pengisian petrol mengikut liter mula tersebar di laman sosial sejak kerajaan menurunkan subsidi petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter berkuatkuasa tengah malam 1 Oktober lalu.
Susulan pengumuman Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) itu, harga runcit baharu bagi petrol RON95 ialah RM2.30 seliter dan diesel RM2.20 seliter.
Menurut teori tersebut, pembayaran mengikut liter adalah tips penjimatan minyak paling berkesan.
"Sebagai contoh, pemandu yang mengisi petrol RON95 sebanyak 20 liter hanya perlu membayar RM46. Ini adalah lebih baik daripada isi RM40 kerana jumlah minyak yang diperolehi adalah 15.7894737 liter sedangkan nozzle hanya menyukat dua tempat perpuluhan sahaja.
"Maknanya pengguna rugi 0.0094737 bagi setiap pengisian RM40. Bayangkan kalau setiap hari ada 1,000 orang yang isi RM40, stesen minyak dah untung 9.4737 liter," demikian menurut teori tersebut yang turut dikongsi di beberapa laman blog.

No comments:

Post a Comment