Tuesday, August 24, 2010

Bazar Ramadan dilanda ribut tidak dipindah


KUANTAN 23 Ogos - Bazar Ramadan bersebelahan padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) yang dilanda ribut semalam tidak akan dipindahkan ke tempat lain.
Pegawai Perhubungan Awam MPK, Haslinda Hassan berkata, ini kerana lokasi tersebut disediakan khas untuk bazar Ramadan dan oleh itu tujuh khemah yang dipukul ribut semalam telah pun dibaiki MPK hari ini.
"Kita tidak akan ubah kedudukan gerai bazar Ramadan itu. Jika kita ubah sekalipun, ia tetap boleh berulang jika ribut yang sama berlaku lagi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tujuh khemah yang menempatkan gerai roboh dipukul ribut menyebabkan seorang peniaga patah tangan manakala beberapa peniaga lain cedera ringan.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 6.10 petang ketika bazar tersebut dipenuhi orang ramai yang sedang membeli juadah berbuka puasa di situ.
Keadaan itu juga menyebabkan 42 daripada 190 peniaga mengalami kerugian akibat kemusnahan harta benda, barangan jualan makanan serta minuman.
Mengulas lanjut beliau berkata, kejadian tersebut merupakan satu bencana dan ia tidak dapat dijangka.
"Oleh itu saya berharap orang ramai terutama peniaga di situ jangan menuding jari kepada MPK kerana ia berlaku tanpa diduga oleh sesiapa," katanya.

No comments:

Post a Comment