Tuesday, August 24, 2010

Tun M tidak setuju


KUAH - Cadangan sebuah syarikat swasta untuk membina jambatan sepanjang 48 kilometer menghubungkan Langkawi dan Kuala Perlis tidak dipersetujui bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Projek bernilai RM130 bilion itu dirancang dua syarikat dari Perlis untuk membangunkan Kuala Perlis sebagai lokasi perdagangan moden.        

Dr Mahathir berkata, projek pembinaan jambatan tersebut hanya akan menjejaskan kecantikan dan keunikan pulau peranginan itu. 

Menurutnya, penjenamaan dan status pulau perlu dikekalkan dan tidak sesuai untuk dijadikan daratan. 

“Kita di sini tumpukan industri pelancongan bukan hendak buat produk atau kilang-kilang dan itu bukan untuk Langkawi, orang Langkawi pun bukan ramai sangat. 

“Saya tidak pernah gembira dengan keadaan Langkawi, banyak lagi yang boleh dibuat seperti pangkalan ikan dan lain-lain. Pulau ini diberi tumpuan dalam industri pelancongan dan program ke arah itu perlu dipertingkatkan,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan berupa wang dan coklat daripada Jetty Points kepada 120 anak yatim dan kanak-kanak istimewa di pekarangan Masjid Istiqamah Kuala Teriang, di sini. 

Sebagai perancang utama pembangunan Langkawi, Dr Mahathir berkata, masih banyak ruang perlu dimajukan dan beliau berharap, setiap program yang akan dilaksanakan mendapat kebenaran kerajaan supaya peruntukan dapat disalurkan untuk memajukan industri pelancongan Langkawi. 

Sinar Harian cuba mendapatkan pandangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Datuk Ir Nawawi Ahmad namun beliau enggan mengulas mengenai cadangan itu. 

Pada majlis itu, kira-kira 500 hadirin termasuk pelancong asing mengambil peluang beramah mesra dengan Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

No comments:

Post a Comment