Tuesday, August 24, 2010

Melombong pasir laut tanpa permit


ALOR GAJAH 23 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang berpangkalan di Kuala Linggi di sini menahan dua buah kapal yang sedang melombong pasir laut tanpa permit di perairan di sini semalam.
Kedua-dua kapal ditahan oleh penguat kuasa Maritim Daerah Kuala Linggi kira-kira pukul 2.30 pagi selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam.
Ketua Penguat Kuasanya, Ibrahim Mohamad berkata, kedua-dua kapal jenis ‘Sand Pump Barge’ itu ditahan ketika sedang melombong pasir kira-kira tiga batu nautika dari Pulau Upeh.
“Setelah pemeriksaan dijalankan, kita dapati mereka tidak mempunyai dokumen dan permit kelulusan untuk melombong pasir laut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua kapal yang ditahan itu bernama ‘Cathay SP 1’ dan ‘Cathay SP 2’ adalah milik sebuah syarikat yang kini membuat kerja-kerja penambakan laut di Pantai Klebang di sini.
Sehubungan itu katanya, kapal terbabit kini ditahan untuk siasatan di bawah Akta Pelantar Benua 1966 (Semakan 1972).
Ujarnya, kes itu kini diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian negeri untuk tindakan selanjutnya.

No comments:

Post a Comment