Tuesday, August 24, 2010

Pindah segera gajah di Umas Umas - Hamisa


TAWAU 23 Ogos - Jabatan Hidupan Liar negeri dan agensi berkaitan diminta mengambil tindakan segera memindahkan gajah yang tersesat di Gugusan Felda Umas Umas di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat berkata, kewujudan gajah di kawasan berkenaan tidak harus dibiarkan terlalu lama kerana boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman penduduk.
"Saya minta pihak berkenaan jangan melengahkan lagi dan segera memindahkan gajah berkenaan.
"Kita tidak mahu lebih banyak lagi kemusnahan dilakukan gajah berkenaan khususnya melibatkan harta benda dan tanaman penduduk.
"Malah pemindahan segera boleh mengelak tragedi melibatkan keselamatan penduduk," katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, semua pihak harus memandang serius apa sahaja masalah dan isu yang melibatkan kepentingan penduduk.
Justeru katanya, segala aduan tidak harus dipandang sepi sebaliknya diberi perhatian dan tindakan segera.
Dalam pada itu, Hamisa menasihatkan penduduk kampung supaya berhati-hati bagi mengelakkan sebarang tragedi.
"Saya difahamkan gajah berkenaan telah sampai ke padang dan saya harap semua pihak berhati-hati dan mengelakkan daripada menghampiri haiwan berkenaan.
"Ibu bapa dan juga golongan dewasa perlu mengawal dan melarang kanak-kanak mendekati gajah berkenaan," katanya.

No comments:

Post a Comment