Tuesday, August 24, 2010

Sambung kontrak Musa Hassan – NGOK


PUTRAJAYA 23 Ogos – Kontrak Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang akan tamat bulan depan perlu disambung kerana ketokohan dan personaliti beliau dalam memimpin pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) amat meyakinkan.
Setiausaha Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Mohd. Jurit Ramli berkata, ketegasan Musa juga berjaya meletakkan suasana politik negara berada dalam keadaan stabil ekoran kecekapan sistem perisikan PDRM menghalang para penentang kerajaan yang agak ekstrem.
Katanya, melihat kepada senario politik semasa, negara perlu mempunyai seorang Ketua Polis yang berkebolehan dan berkemampuan seperti Musa kerana bersungguh- sungguh memastikan kestabilan politik dan ketenteraman awam yang diperintah kerajaan tidak tergugat.
“Ketokohan dan personaliti Musa pada masa ini tiada tandingannya, kecergasan dan kesihatannya yang baik memenuhi kriteria seperti dikehendaki pasukan keselamatan itu.
“Mungkin tidak ramai yang sedar bahawa beliau mempunyai aura tersendiri yang boleh bertahan sebagai ketua yang digeruni oleh penjenayah, dihormati dan disegani oleh segenap lapisan masyarakat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Justeru, katanya, kajian rambang ke atas responden yang juga ahli-ahli Gabungan NGO mendapati hampir kesemuanya berpuas hati dengan peranan PDRM memerangi jenayah sambil menyifatkan Musa sebagai tonggak kecemerlangannya.
“Menurut mereka, Musa telah menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang selain komitmen tinggi beliau membawa perubahan kepada organisasi itu ke arah yang lebih baik dan berintegriti.
“Dalam menghadapi keadaan keselamatan dan ketenteraman awam yang tidak menentu dan trend jenayah yang sofistikated, orang ramai, kakitangan kerajaan, swasta dan NGO memuji kecekapan dan ketangkasan polis dalam memerangi penjenayah,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment