Tuesday, August 24, 2010

Tarawih di pekarangan stadium


Sebahagian daripada pengunjung yang menunaikan solat tarawih di pekarangan Stadium Sultan Muhammed IV di Kota Bharu, malam kelmarin.


KOTA BHARU 23 Ogos - Setiap kali tibanya Ramadan, suatu pemandangan yang berbeza dapat dilihat sekitar pekarangan Stadium Sultan Muhammed IV dekat sini.
Sebaik sahaja kedengaran laungan azan, umat Islam akan mula memasuki khemah yang disediakan di pekarangan stadium untuk menunaikan solat isyak, seterusnya solat sunat tarawih.
Mereka termasuklah Mohd. Hafiz Syarifudin Mohammad, 33, dari kampung Chabang Empat, Tumpat yang singgah untuk menunaikan solat isyak diikuti tarawih di khemah tersebut bersama keluarganya.
Menurutnya, walaupun jauh dari rumah, setiap kali tibanya Ramadan, dia bersama keluarga akan menunaikan solat sunat tarawih secara berjemaah di kawasan pekarangan stadium itu.
"Setiap tahun, inilah tempat tarawih yang menjadi pilihan. Saya memilih untuk bertarawih di sini kerana suasananya yang cukup unik dan jarang terdapat di tempat lain di mana kita bersolat di tengah-tengah kawasan bandar.
"Terdapat sedikit perbezaan apabila menunaikan solat di sini, ditambah pula dengan imam yang didatangkan khas dari Asia Barat dengan bacaan yang merdu dan jelas mampu memberikan suasana seperti di tanah suci," ujarnya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Tambahnya, walaupun tidak memahami secara keseluruhan isi kandungan al-Quran yang dibacakan, gaya penyampaian imam tersebut mampu menyentuh hati setiap jemaah yang bertarawih di situ.
"Program ini cukup bagus untuk menyatukan masyarakat. Saya gembira dapat tengok kita berkumpul dan bersatu macam satu keluarga dan inilah yang dikehendaki oleh ajaran Islam," katanya.
Seorang pelajar dari Pasir Puteh, Musyahrin Che Bakar, 19, berkata pendekatan yang digunakan cukup bagus dan mampu menarik golongan muda untuk sama-sama menunaikan solat sunat tarawih tidak hanya tertumpu di masjid-masjid atau surau-surau.
"Saya lihat ramai golongan belia turut sama bertarawih di sini. Melalui program sebegini dapat menghindarkan golongan remaja daripada terjebak dan melakukan perkara yang tidak baik pada bulan suci ini.
"Selain itu, ia dapat menonjolkan kepada golongan belia bahawa solat boleh dilakukan di mana-mana sahaja asalkan kita berusaha untuk melakukannya dan ini membuktikan bahawa ajaran Islam itu sebenarnya mudah untuk diikuti jika ada keikhlasan dalam diri," ujarnya.
Jelasnya, tahun ini merupakan kali ketiga dia bertarawih di situ semata-mata untuk menghidupkan malam-malam sepanjang Ramadan dengan aktiviti yang berfaedah.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Pembangunan Masyarakat, Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Ropien Hasan ketika dihubungi berkata, apa yang dilakukan oleh pihaknya adalah hasil cetusan idea Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 17 tahun lalu.
Katanya, Menteri Besar sebenarnya terkesan dengan pengalaman yang beliau alami sendiri semasa melawat Sudan di mana umat Islam di sana bersembahyang di tempat terbuka sebaik tiba waktu solat, tidak kira di mana mereka berada sama ada di celah-celah kebun atau di tepi jalan.
"Sebab itu beliau mulakan Qaryah Ramadan pada 1993 dahulu di tengah bandar berhampiran stesen bas dengan mendirikan khemah-khemah terbuka untuk solat supaya rakyat sedar kewajipan bersolat tidak kira di mana berada.
"Namun perkembangan hari ini dengan ramai pihak yang mahu menghulurkan sumbangan membolehkan pula khemah yang lebih selesa disediakan, kita tidak nafikan niat baik mereka cuma kita mahu kembali kepada objektif awal yang sebenar," ujarnya.
Ropien memberitahu, pihaknya mungkin akan mengubah semula konsep Qaryah Ramadan pada masa akan datang kerana konsep khemah tertutup yang dilengkapi pendingin hawa seperti hari ini sebenarnya sedikit tersasar daripada hasrat awal pelaksanaannya.
Beliau berkata, objektif Qaryah Ramadan adalah sebagai medium dakwah kepada seluruh masyarakat agar Islam dilihat sebagai agama yang tidak menyempitkan ruang dan peluang untuk beribadat.
"Lokasi Qaryah Ramadan yang dipindahkan ke pekarangan Stadium Sultan Muhammed IV sejak 2006 mampu menarik antara 2,000 hingga 3,000 jemaah yang menunaikan solat maghrib, isyak dan tarawih setiap malam.
"Dengan adanya kemudahan sebegitu, seluruh masyarakat dapat melihat sendiri kaedah beribadat dalam Islam tanpa sebarang halangan.
''Ini syiar yang kita mahu sebarkan dan dalam masa yang sama menjadi pendorong kepada mereka yang belum datang untuk merasai suasana yang berbeza menunaikan solat di khemah Qaryah Ramadan," jelasnya

No comments:

Post a Comment