Monday, July 25, 2011

43 maut tragedi kereta api laju di China


BEIJING 24 Julai - Pasukan kecemasan hari ini bertungkus lumus untuk mengeluarkan mangsa daripada gerabak-gerabak dua buah kereta api laju China yang terlibat dalam perlanggaran, yang setakat ini mengorbankan sekurang-kurangnya 43 orang dan lebih 200 lagi cedera.

Kereta api pertama kehilangan kuasa akibat dipanah petir lalu dirempuh dari belakang oleh kereta api kedua, menyebabkan dua gerabak terjatuh dari jambatan dalam nahas yang dijangka menimbulkan persoalan baru mengenai tahap keselamatan program peluasan perkhidmatan kereta api di China.

Kemalangan itu berlaku tidak sampai sebulan selepas China dengan penuh publisiti merasmikan perkhidmatan baru kereta api laju yang menelan kos AS$33 bilion (RM99 bilion) dari Beijing ke Shanghai yang memendekkan masa perjalanan antara kedua-dua bandar raya terpenting di negara ini daripada 10 jam kepada lima jam.

Kereta api laju dari Hangzhou ke Wenzhou, wilayah Zhejiang, timur China, dirempuh dari belakang oleh kereta api kedua di pekan Shuangyu di Wenzhou, lapor China National Radio.

Ia tergelincir dari landasan dan dua gerabaknya terjatuh dari jambatan pada kira-kira pukul 8.50 malam tadi (waktu sama di Malaysia), lapor Xinhua dengan memetik sumber bomba tempatan.

Gambar yang disiarkan di laman web dan mikroblog China menunjukkan gerabak panjang dalam kedudukan menegak, dengan satu hujung bersandar pada jambatan, manakala satu lagi terdampar di atas tanah kira-kira 20 meter di bawah jambatan.

Lebih 1,400 orang di dalam kedua-dua kereta api telah dibawa keluar dari gerabak yang setiap satunya boleh membawa kira-kira 100 penumpang. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment