Monday, July 25, 2011

Mangsa asid jumpa bapa di penjara



NURUL Dahyatul Fazlinda (kiri) selepas melawat bapanya, Mat Haizan Mat Yassin, ditemani ibunya, Che Ku Huzaimah dan adiknnya, Muhammad Irfan Firdaus (kanan) keluar dari Penjara Marang, Terengganu, semalam. – utusan/ Shaifudin Mohd Mor


MARANG 24 Julai - Jika sebelum ini, mangsa simbahan asid bapa sendiri, Nurul Dahyatul Fazlinda, 9, melepaskan rasa rindu terhadap bapanya, Mat Haizan Mat Yassin, 34, hanya dengan sepucuk surat yang dihantar melalui penjara, kali ini mereka berpeluang untuk bertemu mata.

Biarpun sentuhan dan penglihatan mereka dihalang cermin tempat bercakap selain hanya mampu mendengar suara melalui telefon, ia tidak menghalang dua beranak itu melepaskan rasa rindu antara satu sama lain ketika mangsa bersama ibu serta adik-beradiknya yang lain berkunjung ke Penjara Marang di sini hari ini.

Dalam pertemuan selama 45 minit itu, Nurul Dahyatul Fazlinda dilihat menangis teresak-esak sebaik sahaja berpeluang bercakap dengan bapanya, biarpun lelaki itu juga yang telah menyebabkan wajahnya terjejas teruk akibat simbahan asid dalam kejadian kira-kira setahun lalu.

"Saya sedih tengok abah duduk dekat dalam sana. Saya tak dapat pegang pun tangan abah sebab ada cermin halang," katanya ketika ditanya bagaimana perasaan dapat berjumpa bapanya di Penjara Marang di sini hari ini.

Drama pilu itu turut menyaksikan bapanya, Mat Haizan, berkali-kali dilihat menyeka air mata apabila terkejut dengan kunjungan ahli keluarganya.

"Terima kasih sebab masih ingat saya lagi. Terima kasih sebab bawa anak-anak jumpa saya," katanya ringkas.

Ketika pertemuan itu berlangsung, Mat Haizan turut dilihat memandang sayu wajah bekas isterinya, Che Ku Huzaimah Che Ku Awang, 29, dan memberitahu, wajah isterinya kelihatan kusam dan keletihan kerana kuat bekerja.

Mat Haizan kemudiannya sekali lagi tidak dapat menahan air mata dan berkali-kali memohon maaf kepada bekas isterinya itu yang telah diceraikan 11 Mei lalu kerana dia kini dalam tempoh hukuman 10 tahun selepas mahkamah mensabitkannya atas kesalahan mencederakan isteri, anak dan ibu mertuanya 15 Ogos tahun lalu di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu.

Ketika kejadian itu, anak keduanya, Nurul Dahyatul Fazlinda cedera parah hampir keseluruhan wajah dan beberapa anggota badan akibat terkena simbahan asid selain ibunya, Che Ku Huzaimah, adik serta neneknya, Muhammad Irfan Firdaus, 3, dan Minah Omar, 57 tahun.

Dalam pada itu, Che Ku Huzaimah memberitahu, kunjungan berkenaan merupakan kunjungan kali ketiga mereka ke penjara tersebut untuk bertemu Mat Haizan yang kini menghadapi hukuman penjara kira-kira setahun.

Katanya, kunjungan tersebut juga dilakukan bagi memenuhi permintaan Mat Haizan dan anak-anaknya sebagai peniup semangat agar lelaki itu tabah menghadapi baki hukuman sembilan tahun lagi, selain perlu menyambut ketibaan bulan puasa dan hari raya tanpa ahli keluarga yang sempurna untuk tahun kedua.

"Pastinya suasana puasa dan hari raya tahun lalu dan tahun ini berbeza sebab tahun lalu kami melaluinya di hospital ekoran kejadian itu berlaku pada minggu pertama puasa dan semasa itu Nurul Dahyatul Fazlinda ditahan di wad lebih dua bulan. Tahun ini pula, bapa mereka di dalam penjara," jelasnya.

Menurut Che Ku Huzaimah, selepas hampir setahun kejadian berlaku, dia reda dan tiada lagi rasa marah terhadap bekas suaminya itu biarpun tindakannya benar-benar melukakan hatinya terutama setiap kali melihat wajah Nurul Dahyatul Fazlinda.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

No comments:

Post a Comment