Monday, July 25, 2011

Tujuh tahun putus bekalan air

Penduduk kampung dakwa banyak kali lapor kepada KEDA, SADA

SIK: Hampir 200 penduduk membabitkan kira-kira 40 keluarga dari Kampung Keda Sektor Tangki Empat, Sungai Senang, berdepan kesukaran apabila bekalan air ke rumah mereka terputus sejak tujuh tahun lalu.

Penduduk mendakwa sebuah tangki yang dibina kerajaan di kampung itu untuk membekalkan air bersih hanya berfungsi beberapa tahun saja dan kini terbiar dan hampir reput.
Wakil penduduk kampung itu, Ahmad Bakar, 58, berkata tangki itu dibina bagi menakung air untuk disalurkan ke rumah penduduk berikutan masalah tekanan air rendah di kawasan berkenaan sejak beberapa tahun lalu, namun ia kini terbiar dan tidak boleh digunakan.
Katanya, penduduk kampung beberapa kali mengadukan masalah itu kepada pihak berkuasa, termasuk Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan Syarikat Air Darulaman Sdn Bhd (SADA), namun belum ada tindakan diambil.

"Walaupun Jabatan Kerja Raya (JKR) membekalkan air menggunakan lori tangki dengan kekerapan tiga atau empat hari sekali, ia tidak mencukupi untuk menampung keperluan penduduk kampung menyebabkan kami terpaksa mengambil air Sungai Senang yang terletak tiga kilometer dari sini.

"Malah, kami juga bimbang dengan tahap kebersihan air sungai yang digunakan kerana ia mungkin tercemar dan mendedahkan penduduk dengan penyakit bawaan air.

"Jadi, kami berharap kerajaan negeri melalui SADA atau KEDA dapat membantu menyelesaikan masalah berkenaan demi keselesaan penduduk," katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Yang Dipertua Persatuan Kerabat Diraja Kedah (PKDK), Datuk Tengku Zainol Rashid Tengku Yahaya di kampung itu.
Suri rumah, Nurhaliza Mohd Saad, 43, berkata, ada kalanya penduduk terpaksa membeli air minuman dalam botol untuk minum dan memasak kerana tidak yakin dengan tahap kebersihan air sungai, terutama ketika musim hujan.

"Apabila musim hujan, air sungai keruh dan kami terpaksa mengeluarkan belanja tambahan untuk membeli air botol demi kesihatan keluarga.

"Sudah tiba masanya kerajaan membantu menyediakan bekalan air paip kerana ia kemudahan asas yang penting," katanya.

Sementara itu, Tengku Zainol Rashid berkata, pihaknya akan berusaha membantu penduduk kampung mendapatkan bekalan air paip dalam tempoh terdekat supaya mereka tidak perlu lagi menunggu lori mendapatkan bekalan air untuk kegunaan seharian.

"PKDK akan menulis surat permohonan kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bagi mendapat bekalan air bersih kerana KEDA dalam kementerian berkenaan," katanya.
Berita Harian Online | Tujuh tahun putus bekalan air

No comments:

Post a Comment