Monday, July 25, 2011

Spratly: Vietnam bantah China



PENUNJUK perasaan Vietnam melaungkan slogan anti-China berhubung ketegangan di Spratly di Hanoi, semalam. - AFP


HANOI 24 Julai - Polis Vietnam hari ini membenarkan 300 penunjuk perasaan anti-China mengadakan perarakan aman di bandar raya ini selepas perhimpunan mereka sebelum ini mencetuskan kemarahan di Internet.

Ini merupakan hari Ahad kelapan berturut-turut penunjuk perasaan berkumpul sebagai bantahan ekoran ketegangan di Laut China Selatan.

Pihak berkuasa sebelum ini membeni laluan kepada lima bantahan kecil yang diadakan di Kedutaan China, tetapi kemudian terpaksa menyuraikan dua demonstrasi dan menahan mereka yang terbabit selepas perbincangan antara Hanoi dan Beijing diadakan pada Jun.

Bantahan kali ini diadakan di tempat berasingan, sekitar tasik Hoan Kiem yang terkenal sebagai tempat pertemuan penduduk setempat dan pelancong asing.

Sebahagian daripada penunjuk perasaan memakai baju-T sebagai membantah tuntutan tentera maritim China ke atas wilayah di Laut China Selatan, yang dikenali di Vietnam sebagai Laut Timur.

Vietnam dan China mempunyai pertikaian panjang berhubung kedaulatan ke atas kumpulan pulau yang kaya dengan minyak, Paracel dan Spratly, yang juga merupakan laluan kapal perdagangan utama.

Ketegangan mula tercetus pada Mei lalu apabila Vietnam mendakwa kapal pengawasan marin milik China memotong kabel eksplorasi kapal kaji selidik di zon eksklusif ekonomi negara.

Penunjuk perasaan melaungkan 'Paracels dan Spratlys adalah milik Vietnam' selain membawa sepanduk nama anggota tentera yang terkorban dalam pertempuran sebelumnya. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment