Monday, July 25, 2011

Filem Melayu kembali jadi tumpuan rakyat Singapura

JOHOR BAHRU 24 Julai - Filem Melayu dari Malaysia kembali mendapat sambutan hangat daripada rakyat Singapura sehingga ada pawagam yang melaporkan mencatat penjualan tiket 'pecah panggung.'

Akhbar Berita Harian Singapura melaporkan bahawa salah satu pawagam di republik itu, Rex Cinemas di Mackenzie Road dekat Serangoon mencatatkan peningkatan penjualan tiket sekitar 60 peratus sejak ia mula menayangkan filem Melayu awal tahun lalu.

Penjualan tiket di pawagam itu dilaporkan meningkat menerusi tayangan filem Khurafat, KL Gangster dan Nur Kasih The Movie, dipercayai ekoran peningkatan mutu penerbitan filem dan bajet yang lebih besar.

Tinjauan akhbar berkenaan di beberapa pawagam lain seperti Jade Theatre di Beach Road dan Golden Village juga telah mula menayangkan filem Melayu.

Pengarah Rex Cinemas, Senthil Kumar, 28, dipetik akhbar itu sebagai berkata, penjualan tiket bagi panggung itu meningkat 60 peratus sejak ia mula menayangkan filem mega Melayu.

Sebagai contoh, katanya, KL Gangster yang ditayangkan sejak minggu lalu telah mengutip lebih S$200,000 (RM492,491) dengan kira-kira 20,000 penonton, sekali gus menjadikannya filem Melayu paling laris di panggung itu setakat ini.

"Saya rasa filem Melayu mendapat sambutan baik sejak beberapa tahun lalu, cuma di Singapura tidak banyak tempat menayangkannya. Jadi, apabila kita mula tayangkan lebih kerap, ramai yang datang menonton.

"Sehubungan itu, kami akan berusaha sebaik mungkin untuk membawa masuk filem mega Melayu ke pawagam Rex dan pada masa ini kita menayangkan kira-kira dua filem Melayu sebulan," katanya.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

No comments:

Post a Comment