Monday, July 4, 2011

Anwar: Penahanan di bawah Ordinan Darurat bertentangan amalam demokrasi

KETUA pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengecam tindakan polis menahan Ahli Parlimen (AP) Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar, dan lima anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) di bawah Ordinan Darurat, sambil menyifatkan tindakan itu sebagai satu penghinaan kepada amalan demokrasi di Malaysia.

Dalam satu kenyataannya yang diedarkan kepada pihak media termasuk akhbar Berita Harian di sini, semalam, Datuk Seri Anwar berkata penahanan Dr Jeyakumar, selaku wakil rakyat, bertentangan dengan amalan demokrasi dan institusi berparlimen di negara itu.

Selain Dr Jeyakumar, lima lagi yang turut ditahan di bawah Ordinan Darurat ialah: M. Saraswathy, Choo Chon Kai, M. Sukumaran, A. Letchumanan dan Sarat Babu.

Kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam Dan Mencegah Jenayah) 1969, yang membolehkan pihak berkuasa menahan mereka selama 60 hari penahanan tanpa perbicaraan.

'Saya mengecam penahanan Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar Devaraj, bersama lima yang lain di bawah Seksyen 3 (1) dan Seksyen 4 (1) Ordinan Darurat.

'Sebagai Ketua Pembangkang Dewan Rakyat Malaysia, saya menegaskan penahanan Dr Michael Jeyakumar di bawah Ordinan Darurat merupakan satu penghinaan terhadap amalan demokrasi dan institusi Parlimen negara ini.

'Beliau selaku ahli Parlimen yang dipilih berhak menyuarakan hasrat rakyat yang mahukan pilihan raya yang bersih dan adil,' kata Datuk Seri Anwar.

Beliau menegaskan bahawa Himpunan Bersih 2.0 anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) telah dikecam dan difitnah sebagai gerakan subversif.

'Sedangkan sudah beberapa kali sekretariat Bersih menegaskan perhimpunan yang bakal diadakan pada 9 Julai 2011 ini merupakan perhimpunan aman.

'Malah sekretariat Bersih sedaya upaya berbincang dengan kerajaan agar tuntutan berkaitan pilihan raya dapat dilaksanakan, akan tetapi gesaan dan tuntutan itu ditolak dengan penuh keangkuhan,' tegas belau sambil menambah bahawa Putrajaya sebaliknya harus melaksanakan semua tuntutan yang dikemukakan Bersih demi kebaikan rakyat dan negara.

Sementara itu, pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan, di Kuala Lumpur semalam dipetik oleh laman The Malaysian Insider sebagai berkata bahawa tindakan Kementerian Dalam Negeri memutuskan Bersih 2.0 tidak sah, yang berkuat kuasa kelmarin, tidak akan membawa kesan sebab pergerakan menuntut pembaharuan sistem pilihan raya itu berjaya dalam memikat 'hati dan minda rakyat'.

Bekas presiden Majlis Peguam itu juga tidak bersetuju dengan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak yang memutuskan Bersih 2.0 menyalahi undang-undang kerana gerakan itu adalah gabungan pertubuhan-pertubuhan didaftar, justeru, ia tidak memerlukan pendaftaran.

'Lebih penting lagi, di luar jangkauan, Bersih sekarang lebih daripada hanya satu kumpulan pertubuhan bagi rakyat Malaysia. Bersih kini satu konsep yang telah memikat hati dan minda rakyat,' kata beliau kepada laman berita itu.

Cyberita Online Luar Negara

No comments:

Post a Comment