Monday, July 4, 2011

Bersih jauh terpesong – Hishammuddin

SHAH ALAM 3 Julai – Tujuan asas penubuhan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) membabitkan lapan tuntutannya sudah jauh terpesong apabila terdapat unsur-unsur mahu menggulingkan kerajaan melalui perhimpunan haram anjurannya pada Sabtu ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, daripada maklumat yang diterima pihak berkuasa, perhimpunan haram tersebut tidak boleh diambil mudah.

“Apa yang kita lihat dalam konteks ancaman, gerakan yang dilakukan, keseriusan akibat perhimpunan kepada rakyat tidak kira agama dan kaum, 9 Julai ini adalah ujian kepada semua pihak (kerana) daripada maklumat kita terima jangan ambil mudah.

“Apa yang berlaku ini banyak perkara lain yang rakyat belum tahu tetapi akhirnya mereka akan tahu (juga). Saya harap kalau mereka tahu kemudian iaitu selepas mereka membuat tindakan, mungkin pada masa itu sudah terlewat dan ralat pada ketika itu tidak membawa makna,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menutup Seminar Memperkasakan Generasi Muda (SMGM) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Lapan tuntutan Bersih meliputi antaranya desakan supaya membersihkan senarai pengundi, memperbaharui sistem undi pos, penggunaan dakwat kekal, tempoh berkempen minimum 21 hari, akses media yang adil dan telus dan memperkukuhkan institusi awam.

Utusan Malaysia Online - Berita Utama

No comments:

Post a Comment