Monday, July 4, 2011

Yingluck menang pilihan raya

  • Foto

    PENYOKONG Yingluck bersorak kegembiraan meraikan kemenangan Puea Thai di ibu pejabat parti itu di Bangkok semalam. - AFP

  • Foto

Foto
Puea Thai rampas 260 daripada 500 kerusi Parlimen dipertandingkan


BANGKOK: Parti Puea Thai pimpinan Yingluck Shinawatra, adik bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, memenangi pilihan raya umum Thailand semalam dengan majoriti kerusi di Parlimen, membuka jalan kepada kemungkinan kembalinya Thaksin yang digulingkan tentera pada 2006.
Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva mengaku kalah dan mengucapkan tahniah kepada Yingluck, 44 yang akan menjadi Perdana Menteri wanita pertama negaranya.Selepas 92 peratus undi dikira, Puea Thai memenangi 260 kerusi daripada 500 yang dipertandingkan dalam pilihan raya umum semalam.

Parti Demokrat pimpinan Abhisit memenangi 163 kerusi, menurut suruhanjaya pilihan raya.

“Keputusan pilihan raya adalah jelas, Puea Thai memenangi pilihan raya dan Demokrat kalah, kita perlu hormati keputusan yang dibuat dalam pilihan raya,” Abhisit memberitahu penyokongnya di ibu pejabat parti kerajaan itu di sini malam semalam.

Pilihan raya umum berkenaan adalah ujian pertama bagi kerajaan Abhisit yang disokong tentera selepas bantahan rakyat tahun lalu menyaksikan penunjuk perasaan yang menyokong Thaksin melumpuhkan ibu negara sehingga tentera menyuraikan mereka dengan tindakan ganas yang menyebabkan lebih 90 orang terbunuh.
Yingluck memberitahu penyokongnya di ibu pejabat Puea Thai di sini: “Saya mempunyai tugas yang berat pada masa depan.”

“Terima kasih kepada rakyat yang keluar mengundi,” kata Yingluck yang baru menceburi diri dalam politik dan digelar Thaksin sebagai klon beliau.

Di sebalik kebimbangan kemenangan Puea Thai akan mencetuskan huru hara atau rampasan kuasa baru, Thaksin menyeru semua pihak menghormati keputusan pilihan raya.

“Semua pihak mesti menghormati keputusan ini sekiranya rakyat mahu menyaksikan Thailand mengecap keamanan,” kata hartawan yang memilih untuk hidup dalam buangan di Dubai berikutan didapati bersalah atas kesalahan rasuah.

Thaksin disokong kebanyakan pengundi di kawasan luar bandar kebanyakannya rakyat miskin berikutan dasar kerajaannya yang popular seperti penyediaan perkhidmatan kesihatan yang murah serta memperkenalkan skim kredit mikro.

Bagaimanapun beliau dibenci golongan elit yang melihatnya sebagai pemimpin yang korup, kuku besi dan menjadi ancaman kepada institusi raja di negara berkenaan. – AFP
Berita Harian Online | Yingluck menang pilihan raya

No comments:

Post a Comment