Monday, July 4, 2011

Kapal Greenpeace hampir siap dibina



Ketua pereka bentuk Rainbow Warrior III, Uwe Lampe memerhatikan kapal Greenpeace yang dibina di limbungan kapal Fassmer di Berne-Motzen berhampiran Bremen, utara Jerman, 29 Jun lalu. - AFP


BERLIN 3 Julai - Di sebuah limbungan kapal Jerman, senjata terbaru kumpulan pemerhati alam sekitar, Greenpeace dikenali sebagai Rainbow Warrior III hampir siap dibina.

Jurucakap kumpulan itu, Mike Townsley berkata, kapal itu dijangka dilancarkan Isnin ini sempena sambutan ulang tahun Greenpeace ke-40 pada Oktober ini.

"Ia bukan sekadar kapal. Ia sangat moden dan boleh melaksanakan aplikasi nilai-nilai yang kami ingin terapkan,'' katanya.

Kapal Rainbow Warrior III dianggarkan bernilai 23 juta euro (RM100.5 juta) dan merupakan kapal pertama dibina mengikut spesifikasi mereka.

Kapal Rainbow Warrior I yang ditenggelamkan oleh ejen Perancis di New Zealand pada 1985 ketika ia cuba menghalang ujian nuklear di Lautan Pasfik, diubah suai daripada kapal pukat tunda Britain.

Rainbow Warrior II pula diubah suai daripada kapal nelayan dan kini ditamatkan perkhidmatannya selepas 50 tahun digunakan dalam pelbagai kempen termasuk ujian nuklear, tangkapan ikan berlebihan dan pembalakan haram.

Kontrak pembinaan kapal terbaru Greenpeace itu diberikan kepada pembina kapal Jerman, Fassmer pada 2009.

Ketua pereka bentuk kapal itu, Uwe Lampe berkata, keseluruhan konsep kapal berkenaan sukar diterangkan dan ia adalah seperti sebuah bandar kecil dengan alat penjana elektrik sendiri, alat penghawa dingin, rawatan bahan perkumuhan dan makmal.

"Kapal itu akan mampu mencapai kelajuan tertinggi 10 knot dengan motor elektrik dan 15 knot apabila menggunakan enjin diesel.

"Seramai 33 anak kapal boleh dimuatkan pada satu masa dan ia boleh membawa bekalan sehingga empat minggu. Ia turut dilengkapi tapak pendaratan helikopter,'' katanya. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment