Monday, July 4, 2011

Thailand bakal rai PM wanita pertama

Abhisit mengaku kalah

BANGKOK: Parti yang menjadi proksi mantan perdana menteri Thailand yang hidup dalam buangan, Encik Thaksin Shinawatra, memenangi pilihan raya umum negara itu semalam, menurut perangkaan awal Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand (ECT).

Sehingga akhbar ini dicetak dan selepas 56 peratus undian dikira, keputusan awal EC menunjukkan Parti Puea Thai yang dipimpin oleh adik bongsu mantan perdana menteri Thai itu, Cik Yingluck Shinawatra, sedang mendahului dengan memenangi 251 daripada 500 kerusi di Parlimen Thai, melebihi jumlah kerusi majoriti yang diperlukan bagi membentuk sebuah kerajaan.

Parti Demokrat, yang dipimpin oleh Perdana Menteri Thai yang disokong pihak tentera, Encik Abhisit Vejjajiva, pula memenangi 167 kerusi.

Encik Abhisit mengaku kalah menerusi satu siaran televisyen malam tadi, selepas keputusan awal menunjukkan Parti Puea Thai memenangi kerusi majoriti dalam parlimen.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Cik Yingluck, 44 tahun, atas kemenangannya.

'Keputusannya jelas - Puea Thai telah memenangi pilihan raya ini dan pihak Demokrat telah dikalahkan,' kata Encik Abhisit dari ibu pejabat partinya di Bangkok.

'Saya akan memberi peluang kepada Yingluck, wanita pertama untuk membentuk sebuah pemerintah. Saya mahu melihat penyatuan dan perdamaian.

'Pihak Demokrat bersedia menjadi pembangkang,' tambahnya.

Selain memberi peluang Cik Yingluck menjadi perdana menteri wanita pertama Thailand, keputusan itu juga bermakna bahawa Encik Thaksin dan sekutu-sekutunya berpeluang muncul semula dalam arena politik Thailand, selepas penggulingannya dalam satu rampasan kuasa tentera pada 2006.

Awal daripada itu, tinjauan di kalangan pengundi semalam menunjukkan bahawa Parti Puea Thai mendahului Parti Demokrat dengan memenangi 313 daripada 500 kerusi di parlimen, melebihi majoriti 250 kerusi yang diperlukan baginya untuk membentuk sebuah kerajaan.

Satu mandat besar yang diberikan kepada Cik Yingluck bagi memerintah Thailand akan memudahkan beliau mencari jalan keluar daripada krisis politik yang telah membelenggui Thailand sejak 2006.

Namun, persoalannya ialah sama ada golongan elit, yang menjadi broker kuasa di Thailand, termasuk pihak dirajanya dan tentera, boleh menerima keputusan itu.

Dalam satu wawancara dengan stesen televisyen PBS semalam, Encik Thaksin, yang kini hidup dalam buangan di Dubai, menyifatkan keputusan awal itu 'satu langkah ke hadapan' dan rakyat Thai 'mahu melihat perubahan dilakukan secara aman'.

Encik Thaksin juga berkata bahawa beliau tidak mahu membalas dendam dan 'bersedia memaafkan semua'.

Tentera Thai menggulingkan Encik Thaksin pada 2006, dan keputusan mahkamah yang kontroversial selepas itu membantu menggulingkan dua perdana menteri pro-Thaksin, salah seorang daripadanya memenangi pilihan raya yang bertujuan memulihkan semula demokrasi di Thailand pada 2007.

Rentetan peristiwa itu membuka jalan bagi Encik Abhisit, yang disokong tentera, mengambil alih kerajaan Thailand - mencetuskan satu bantahan antikerajaan besar-besaran tahun lalu hingga menyebabkan 90 orang mati dan 1,800 lagi cedera. -- AP, AFP.

Cyberita Online Luar Negara

No comments:

Post a Comment