Monday, July 4, 2011

Korea Selatan tuntut wilayah maritim

SEOUL 3 Julai - Korea Selatan akan mengemukakan tuntutan terhadap sebahagian kawasan dasar laut yang melepasi Zon Ekonomi Eksklusifnya (EEZ) di Laut China Selatan kepada sebuah badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun ini, lapor media hari ini.

Tindakan itu dilihat boleh mencetuskan semula pertikaian wilayah maritim dengan China dan Jepun.

Agensi berita Yonhap yang memetik sumber kerajaan melaporkan, Korea Selatan akan menghantar dokumen rasmi untuk membuat tuntutan terhadap kawasan yang melebihi EEZ kepada Suruhanjaya PBB mengenai Batasan Pentas Benua (CLCS).

"Bagi membuat tuntutan, kerajaan kini sedang meneliti dan memproses data yang berkaitan," katanya.

Dalam tuntutan yang dibuat, Seoul mendakwa Semenanjung Korea melepasi pentas benua sehingga ke Okinawa melalui Laut China Selatan secara semula jadi.

Sumber kerajaan dipetik sebagai berkata, tindakan membuat tuntutan tersebut berkemungkinan akan turut dibuat Beijing dan Tokyo sekali gus mencetuskan perselisihan antara jiran-jiran Asia.

Kerajaan bagaimanapun tidak mengeluarkan sebarang ulasan mengenai perkara tersebut.

China sebelum ini pernah membuat tuntutan ke atas kawasan dasar laut Okinawa dengan memberi alasan ia meliputi pentas benuanya secara semula jadi.

Korea Selatan dijadual mengadakan pertemuan dengan China dan Jepun secara berasingan bagi berbincang mengenai isu sempadan perairan tahun ini. - Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment